Lama sudah tidak masuk hutan, apatah lagi hutan paya bakau. Inilah yang kali pertama. Macam-macam yang saya bayangkan. Saya mempunyai ‘ekspektasi’ yang tinggi untuk melihat keajaiban dan keindahan alam di hutan paya bakau. Di tangan sentiasa tersisip kamera auto digital dengan harapan dapat mengambil ‘shot’ yang menarik, pelik dan unik.
Namun harapan saya meleset. Jauh dari apa yang dibayangkan. Taman Negara Tanjung Piai tidak seunik namanya. Dengan label sebagai Penghujung benua selatan tanah besar Asia, tidak segah yang digembar-gemburkan. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa kehidupan.
Bukan salah nama Tanjung Piai, atau Tanjung Piai itu sendiri. Yang berdosa itu, adalah kita sendiri. Hutan bakau ini, hampir hilang nyawanya. Satu ketika dahulu, kepelbagaian biologi dapat di lihat dan hidup di hutan paya bakau ini. Hari ini, hidupan flora dan fauna ini hanya dapat dilihat dari foto-foto yang dipamerkan di hadapan pintu masuknya. Yang masih hidup, sedang bertarung nyawa.
Spesis belacak dikatakan banyak kelihatan di paya bakau, oleh kerana hari ini bilangan ‘mereka’ sedikit, ‘mereka’ menjadi terlalu malu untuk difotokan wajah ‘mereka’. Saya gagal merakam sebarang foto ikan belacak kerana hanya dua kali terserempak dan tidak sempat memetik picu kamera.
Tanjung Piai hari ini hanya di isi dengan sampah sarap dan sisa bahan buangan. Jika apek yang sering meronda dengan basikalnya di taman perumahan saya yang mencari tin-tin aluminium, botol-botol kosong atau suratkhabar lama itu datang ke sini, pastinya dia akan kaya raya dengan menjual hasil sampah yang dijumpai di sini.
:(
nizam r@gitartong
kem kesedaran alam sekitar
tanjung piai, pontian 26-28 Nov 07
*Tulisan ini adalah sedikit tanggungjawab sosial untuk alam sekitar. Sayangilah alam sekitar seperti menyayangi anak-anak anda.