Tuesday, December 26, 2006

Apakah tanggungjawab kita?


Sudah hampir seminggu Kak Kaduk sekeluarga menumpang di rumah abang kandungnya. Hampir seminggu juga rumahnya tenggelam dek air berlumpur. Dalam dua hari lepas, hujan reda. Kak Kaduk sekeluarga ambil keputusan pulang untuk membersihkan rumah.

Plaza Skudai Parade yang terhenti operasinya selama beberapa hari akibat banjir telah memulakan operasinya semula. Terhenti bukan kerana air yang telah masuk ke Skudai Parade, tetapi bekalan elektrik terganggu. Oleh itu, Kak Kaduk yakin untuk pulang membersihkan rumah.

Ditambah pula berita di kaca televisyen dan akhbar. BANJIR DI JOHOR REDA. Matahari yang gemilang mempamerkan senyumnya. Lopak air yang menakung mula tersejat dek cahaya matahari yang bersinar. Kak Kaduk tambah yakin untuk pulang membersihkan rumah.

Seharian mereka berhempas pulas. Barangan yang jahanam tak terkira. Kak Kaduk sedih. Puas sudah menangis. Tapi semangat Kak Kaduk kuat. Hidup harus diteruskan. Jangan berpatah arang berkerat rotan. Tekad Kak Kaduk.

Belum pun sesiap mana, seawal subuh pagi 26 Disember 2006, hujan turun lagi. Seharian. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang gerimis. Tak henti-henti. Kak Kaduk susah hati. Kudratnya semakin lemah. Kepenatan.

Mula-mula lopak-lopak kecil bertakung, semakin lama semakin besar. Sungai mula melimpah. Air keruh mula melimpah di pintu hadapan rumah. Rumah Kak Kaduk tenggelam lagi.

Lagi tentang bah teruk

Friday, December 22, 2006

Malam HESCOM

Saya ghairah untuk ke majlis ini.

HADIAH ESASTERA.COM 2006 (HESCOM 06)

Anjuran Esastera Enterprise dan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Majlis Makan Malam dan Baca Puisi Penganugerahan.

Tarikh: Ahad 24 Disember 2006.
Masa: 8.00 hingga 11.00 malam
Tempat: Menara DBP (Kuala Lumpur)


Sebab, saya nak menyanyi dan jual demo album di situ. Ayuh! beramai-ramai! masih ada kekosongan tempat! sila klik.

Friday, December 15, 2006

Aku yang semakin ke'jawa'an 2

Bagi memenuhi tuntutan sosial, tidak mampu saya menolak undangan ke majlis tahlil arwah di Telok Kerang, Pontian. Lebih-lebih lagi yang mempelawanya ialah bapa mertua. Saya tidak mahu menjadi penderhaka. Lagipun memang saya kelapangan. Apalah salahnya kita bermasyarakat. Dapat juga berkenal-kenalan dengan penduduk kampung.

Tahlilnya sama. Kebanyakkan aturcaranya sama. Seperti juga majlis tahlil di mana-mana tempat yang pernah saya hadiri. Cuma yang berbeza ialah setibanya waktu makan. Ya, saya tahu. Waktu makan memang semua orang suka. Anak-anak tuan rumah atau saudara mara akan bergerak di hadapan tetamu sambil menghulurkan air tadahan basuhan tangan.

Tetamu hanya perlu menghulurkan tangan dan anak-anak tuan rumah akan menjiruskan airnya. Kita tidak perlu bersusah payah membasuh tangan sendiri. Ada orang yang basuhkan. Nasib baik tangan tidak boleh dicabut-cabut. Kalau tidak, lebih mudah kerja anak-anak tuan rumah. Sementara itu, dulang hidangan "NASI AMBENG" sedang disusun atur dihadapan tetamu.

Kecur air mliur melihat nasi ambeng dalam dulang. Ayam masak kicap, sambal sayur, mee atau meehoon goreng dan pelbagai aksesori tambahan. Saya yang pertama kali nampak nasi ambeng yang betul-betul nasi ambeng, nafsu saya sudah membuak-buak. Perut tiba-tiba jadi lapar.

Lauk pauk atas empat daun pisang. Daun pisang atas nasi putih. Menandakan satu dulang untuk empat orang makan. Wow! banyaknya nasi dan lauk untuk empat orang. "Puas ni!" getus saya dalam hati. Dalam satu dulang kecil, bekas minuman dan gelas untuk tetamu minum. Dalam beberapa piring kecil terisi, dua tiga jenis kuih dan buah-buahan.

Saya perhatikan kiri kanan. Bila tetamu hendak mulakan. Bila tuan rumah mempelawa saja, tunggu! baca doa makan dulu. Selesai. Amin. Tanpa berlengah-lengah lagi, saya pun memulakannya. Lauk pauk dalam daun pisang saya sudah lambak atas nasi. Saya makan bersungguh-sungguh. Sambil tersenyum dan berbual dengan rakan sedulang (pakcik-pakcik). Hampir keseluruhan jari telah saya gunakan untuk makan. Terdetik hati apabila melihat rakan-rakan sedulang dan orang lain hanya menjamah sedikit (mencuit-cuit sedikit) sahaja. Hujung jari sahaja.

"Kenapa ni? Jari pun tak kotor" Saya bertanya dalam hati. "Sila-sila makan" Saya mempelawa. Barangkali malu agaknya. Saya mula memperlahankan rentak saya. Saya sudah rasa lain macam. Dalam hati tertanya-tanya, "mengapa orang lain tak makan?" Rakan di dulang sebelah, tiba-tiba mengeluarkan plastik pembungkus makanan. Mereka membahagi-bahagikan makanan kepada empat bahagian. Ya! Mereka bungkus makanan mereka!

Mana datang plastik? Oh! terselit di celah-celah cawan minuman di dalam dulang. "Cis!" getus saya. Mengapa saya tidak perasan. Patutlah orang lain tak makan. Memang disediakan plastik pembungkus untuk tetamu bawa balik. Mujurlah, dalam cerita ini saya heronya. Jadi hero tidak kalah. Saya berjaya mengatasi masalah itu tanpa perlu malu dengan perbuatan saya. Bak kata bapa mertua, sudah tuan rumah beri makan, makan sajalah! Orang kita saja pandai-pandai bungkus nak bawa balik pula. "Tak patut, tak patut.." kata saya.

Monday, December 11, 2006

Aku yang semakin ke'jawa'an

Dalam masyarakat Jawa, jika kita menghadiri satu majlis kenduri (tahlil) atau kerja kahwin (jemputan), jangan terkejut jika kita akan dibekalkan dengan bonchrot aka berkat yakni sumbangan (biasanya makanan ringan atau lauk pauk yang dibungkus) tuan rumah kepada setiap tetamu yang hadir seusai tetamu tadi selesai makan dan mahu berangkat pulang.

Kita sebagai tetamu, sudah siap sedia dengan sampul berisi wang didalam genggaman tangan. Apabila bersalaman sahaja dengan tuan rumah, sampul tadi akan berpindah milik. Jangan pula ditarik semula sampul tadi. Tuan rumah pula akan membekalkan kita bonchrot seorang satu. selepas itu, baliklah!

Tujuan bonchrot aka berkat itu adalah sebagai menghargai tetamu yang hadir. Sebagai ucapan terima kasih tuan rumah kepada tetamu yang sudi meluangkan masa untuk menjamu selera di kerja kahwinnya. Sebagai mempamerkan rasa hormat tuan rumah kepada tetamu-tetamunya. Sebagai pengerat silaturahim tuan rumah dan tetamunya. Inilah antara keistimewaan masyarakat Jawa. Hanya masyarakat Jawa sajalah yang mengamalkan bonchrot aka berkat ini.

Seperkara yang telah merubah skema pemikiran saya ialah, pada satu malam, saya berempat bersama orang rumah, adik ipar dan ibu mertua (ku) melalui jalan pontian-kukup, setibanya kami di hadapan sebuah sekolah cina, lalulintas sedikit sesak. Kami memperlahankan kenderaan. Ramai kaum cina baru keluar dari dalam sekolah.

"Cina-cina ni, buat apa ni?"

"Kenduri kahwin ke apa ni?"

"Eh, pelik juga, dia orang balik pun, dapat berkat (bonchrot)?"

"Agaknya cina-cina di sini keturunan jawa agaknya"

"Cina jawa?"


Kami berdekah-dekah ketawa.

Thursday, December 07, 2006

Kata-kata

Pertama kali berkumandang dalam majlis MALAM GEMA BAHASA bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DBP Peringkat Negeri Johor yang diadakan di Teluk Danga pada 25 November 2006.

untuk mendengar lagu, klik pada ikon 'notation' (play music) pada bar.

Kata-kata

ku tujukan kata-kata ini,
hanya padamu,
dari hujung dunia,
setiap detik dan masa.

ku kaitkan menjadi madah,
kata demi kata,
agar kau tahu,
segala maksudku.

ku bayangkan segala mimpi,
satu demi satu,
walaupun sepi,
tetap membawa erti.

kulukiskan menjadi potret,
warna demi warna,
indah dari peribadi,
seindah warna pelangi.

ku tujukan kata-kata ini,
hanya padamu,
dari hujung dunia,
setiap detik dan masa

sajak: kingbinjai
lagu: gitartong


Saya mencari sajak-sajak yang bertemakan bahasa untuk program malam itu. Maka, terjumpa sajak ini. Sesuai barangkali. Di kesempatan ini saya meminta izin pada tuan punya "kata-kata" untuk dijadikan bahan projek kedua saya (sudah buat baru minta. haha! Sori bro!). Terima kasih.

mereka yang nampak putih saja, silalah ke sini. Kalau tak dapat dengar juga, nanti korang belilah CDnya. Hahaha!