Saturday, February 18, 2006

Satu Garis Hitam




Kembara malam

Dari titik ke titik
Ku tarik satu garis
Satu garis hitam

Satu garis hitam
Dari kembara malam

Suka dan duka berkejaran di keningnya
Hari dan nadi berkejaran di sampingnya


Berikut adalah petikan sajak yang ditulis oleh Abdul Latip Mohidin yang merupakan sebuah lagu dendangan Kopratasa. Kali pertama saya mendengar lagu tersebut melalui album kompilasinya “Sesetia Malam”. Saya tidak berpeluang untuk mendengar lagu tersebut daripada album asalnya kerana saya tidak pernah ambil tahu tentang Kopratasa sebelum itu. Walaupun nama Kopratasa cukup popular dengan lagu Masihkah Kau Ingat satu ketika dahulu.

Pada awal pembabitan, saya lebih cenderung pada irama lagu rock melayu dan inggeris. Semenjak daripada sekolah menengah lagi, saya sudah mula mengusung gitar tong saya ke hulu kehilir untuk belajar memetiknya. Kalau saya tahu dimana-mana ada mat rock yang handal bermain gitar, disitulah saya berkampung. Saya bersanggupan untuk berjalan kaki lebih 10 kilometer untuk melepak setiap kali habis waktu persekolahan semata-mata untuk belajar bermain dan menyanyi menghiburkan hati.

Untuk melengkapkan minat dan dipengaruhi rakan-rakan sealiran, saya menghimpunkan rakan-rakan lain untuk menubuhkan sebuah band. Seremaja usia 16 tahun, saya ada grup saya sendiri dan berjaya menghasilkan kaset demo kami sendiri. Aliran kami ganas, bukan sekadar rock biasa, tapi terjun dalam ‘underground scene’ apabila memilih untuk aktif dalam ‘scene’ BLACK METAL. Kalau sekadar menconteng muka, bermain dengan semburan api, sudah terlebih dahulu saya buat. Tapi saya tidak pernah terfikir untuk membakar Al-Quran dan meminum darah kambing sahaja (ada ke?) dan.. saya hanya makan daging kambing.

Memang sudah lumrah remaja, sentiasa ingin mencuba membuat sesuatu yang lain dari yang lain, saya turut terpengaruh dengan kehidupan yang hitam (BLACK). Dari titik ke titik kehidupan, saya menempuh satu zaman gelap yang saya sendiri memilih untuk memasukinya. Dalam kembara malam mencari identiti dan mengenal diri, dunia remaja saya telah dirosakkan dengan keadaan dan persekitaran. Kami mabuk dengan lagu, dengan muzik, dengan jamming, dengan apa sahaja yang kami ingin lakukan. Kami tidak pernah ambil tahu tentang buruk atau baik tindakan yang dilakukan dari pandangan agama mahupun masyarakat. Dunia yang ‘BLACK’ itu bertahun-tahun saya tempuhi. Hinggakan pada satu ketikanya saya rasa tidak mampu keluar darinya.



Bukan salah ibu mengandung atau bapa yang tidak mendidik. Mereka juga seperti ibubapa orang lain yang juga mengharapkan anak-anak dapat memilih haluan hidup dan masa depan sendiri. Abah puas merotan, mak sudah puas menangis. Tetapi si anak masih memilih antara kecenderungan dan nafsu. Kekeliruan inilah yang menyebabkan saya menterjebakkan diri yang juga turut dipengaruhi rakan sealiran.

Hinggakan pada satu tahap, saya keluar membawa diri. Jauh dari rakan-rakan. Saya nekad membuang naluri nafsu yang kotor dan jahat itu. Tapi masih aktif dengan minat dan kecenderungan. Saya tarik garis hitam dari kembaraan saya dalam hidup. Saya buang jauh-jauh. Saya mula mencari cinta yang hilang (Kopratasa). Saya mula insaf dengan diri yang kita sekadar tetamu senja (Kopratasa). Saya cuba mengenali engkau yang satu (Ramli Sarip) dan memohon hidayah (M.Nasir) dariNya.

Saya mula terjun dalam aliran yang baru. Mengenal melayu dalam anak-anak kita dan mentera semerah padi (M.Nasir). mengenali tuhan dalam ketika bumi ini dan kantata takwa (Iwan Fals). Saya mula berminat dalam tulisan berkaitan seni. Saya tertarik pada bahasa dalam kalam tuhan (Ramli Sarip). Saya mula mendekati dan mendengar susunan muzik yang lebih matang dan spiritual. Saya teruja dengan lirik bahasa yang melankolik dan puitis. Saya dewasa dengan lagu-lagu yang menjana pemikiran.

Walaupun begitu, saya tetap tidak berubah pada minat saya. Saya masih perlu berkumpul dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Ada ketika, kami berbincang tentang lagu, muzik, filem dan kadang-kadang berhujah dan berdebat tentangnya. Memang saya tidak ketahui, darah seni siapa yang mengalir dalam diri ini. Nak dikata ibu bapa, tidak juga. Nenek moyang agaknya. Adik-beradik pun tiada minat yang serupa.

Hari ini saya masih lagi mabuk, tapi dalam konteks halal. Saya masih lagi teruja pada muzik dan seni. Saya boleh duduk duduk di hadapan komputer untuk memerah idea menyusun muzik berjam-jam lamanya. Saya khayal dengan lagu-lagu mengusik jiwa dan kenangan saya seperti lagu kembara malam (Kopratasa). Saya ‘busking’ untuk melepaskan tekanan. Saya berbangga dapat menarik garis hitam.

Tapi kenapa dulu saya bergantung pada benda yang haram ye?