Saturday, February 11, 2006

Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek



Mencari kelainan

Jika kita adalah guru, kita tidak akan lepas dari menyebut empat perkataan tersebut kerana perkataan tersebut terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Sebagai guru kita disaran menghafal FPK kerana akan ditanya semasa didalam temuduga terutamanya temuduga lantikan pertama. Tidak perlulah kita risau, FPK terdapat di mana-mana sudut disekolah. Usah peduli tentang konsepnya, yang penting apabila ditanya apakah itu FPK, kita mampu menerangkannya.

Mencari sesuatu kelainan atau mencuba sesuatu yang baru akan menjadikan seseorang itu lebih kreatif. Dalam aspek pendidikan, guru-guru digalakkan agar lebih mendorong murid melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan, pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek yang berlandaskan pada kepatuhan agama dan undang-undang. Oleh yang demikian, selagi perkara atau perbuatan yang tidak melanggar undang-undang dan agama terutamanya, tidaklah salah diperlakukan. Kita digalakkan untuk memilih dan membuat pilihan agar pilihan yang dipilih kelak dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan membantu memartabatkan bangsa. Memang seharusnya kita mendorong murid untuk menjadi lebih aktif dan tidak menyekat kreativitinya.

Saya memulakan laluan hidup dengan sering berkelana bersama gitar dan harmonika. Bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang sealiran. Kami mengembara ke serata pelusuk negeri semata-mata untuk menyanyi di tepi jalan. Selain tidak menjanjikan kemewahan hasil dari menyanyi, apa yang kami harapkan, ialah kami puas dengan apa yang kami buat dan tidak mengganggu keselesaan orang lain. Ianya bertujuan memperkembangkan potensi diri masing-masing selagi tidak melanggar hukum-hakam beragama. Selain untuk menambah pengalaman hidup, kami berkongsi cerita dan ilmu dengan sesiapa sahaja yang kami jumpa. Kerana kami percaya, ilmu dan pengalaman itu tidak semestinya boleh diperolehi dari menara gading sahaja atau dari 5A, 10A, 17A, atau pun 4 ‘flat’. Angka dan huruf tidak memberi makna besar pada kami.

Untuk meningkat dan memperdalamkan ilmu, saya berpeluang untuk melanjutkan pendidikan ke MPTI. Masih dalam aliran dan landasan yang sama, cuma persekitaran saya yang berbeza. Saya rasa cukup bersedia untuk ke MPTI atas kerana minat dan kecenderungan saya sebelumnya. Walaupun telah bertahun saya meninggalkan dunia pendidikan. Dengan pakaian, diri dan ‘attitude’ saya, saya melangkah ke MPTI dengan semangat berkobar-kobar dan teruja. Saya cepat menyelesakan diri dengan persekitaran walaupun dalam minggu pengurusan saya keletihan. Dalam tahun pertama, saya mula merasa kelainan terhadap opsyen pengkhususan kami. Kebanyakkan pensyarah, rakan-rakan senior sering memperlekeh dan memperendahkan kemampuan opsyen kami. Dari bisik-bisik kata yang diterima, mereka yang di dalam opsyen pendidikan muzik adalah golongan pelajar yang lemah, tidak bersemangat, tidak berpotensi, tidak berkualiti, tahap disiplin yang rendah dan kata-kata yang cukup bisa saya dengar ialah mereka yang bercita-cita untuk menjadi guru muzik, adalah setelah tidak berjaya untuk mendapat pekerjaan lain.

Saya rasa tercabar, lantas pada satu malam dihujung minggu, berbekalkan sebuah gitar dan harmonika, saya ‘busking’ depan tangga kafetaria dalam MPTI secara solo. Pada malam itu, saya kumandangkan beberapa buah lagu. Bulan, bintang, langit dan cuaca seakan memberi keizinan untuk melariskan konsert pertama saya. Dari satu lagu ke satu lagu, setiap kali lagunya tamat, saya mendapat tepukan gemuruh dari rakan-rakan pelatih. Tergambar pada wajah masing-masing betapa haus dan dahaganya mereka pada sesuatu kelainan dan ‘entertainment’.Hidangan yang disajikan membuatkan mereka puas. Dengan sambutan yang hangat, dari atas tangga, dari dalam bilik, dari tepi tingkap, dari atas kafetaria dan dari semua sudut, saya seakan hilang akal, adakalanya saya menari, melompat, menjerit, saya mencangkung dan kami ketawa bersama dan ada pula yang sempat menjual kacang?. Saya terlihat di satu sudut seorang gadis cina sedang tersenyum. Di satu sudut lain, sepasang pasangan india sedang mengunyah sesuatu sambil bertepuk. Mereka merasa gembira sekali, dan seronok dengan apa yang saya persembahkan. Saya jadi yakin dan percaya dengan apa yang saya buat dan apa yang saya pertuturkan menjadi keselesaan pada semua orang. Komunikasi saya menjadi lebih baik. Emosi dan jasmani saya jadi stabil, saya serap unsur kerohanian dalam lagu-lagu yang diperdengarkan. Saya cabar intelek pendengar, dengan lirik bahasa yang puitis dan melankolik. Saya selit konsep dan teori pendidikan muzik. Kemahiran dan teknik menghasilkan vokal yang baik. Cara menilai sesuatu persembahan yang baik turut sempat saya terapkan. Seolah-olah persembahan itu, adalah sebuah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas. Kerana saya percaya, sebuah P&P yang baik dapat mengubah tingkahlaku murid dan mengubah skema pemikiran yang tidak di sedari selama ini adalah memesongkan.

Tetapi kemeriahan konsert percuma itu telah terganggu, bukan disebabkan oleh cuaca atau persekitaran. Tetapi diganggu oleh Ketua Warden En Baharom Bin Sulman. Beliau memang terkenal dengan serius dan ketegasannya terhadap pelatih. Tidak semena-mena semua pelatih bertaburan meninggalkan pentas saya. Saya terpaku seorang di tengah gelanggang. Namun masih ada pelatih yang berani untuk duduk lagi. Saya hormat mereka yang tak gentar ini. Tanpa bercerita panjang, En Baharom bertalu-talu menyoal-siasat saya. Nadanya keras, benci dengan perbuatan yang boleh mengundang kemaksiatan dan masalah moral ini. Beliau amat terkejut kerana tidak pernah lagi ada pelatih yang buat apa yang saya dah buat. Saya cuba berlembut dan berhemah menyediakan alasan dan jawapan yang munasabah pada soalan yang dikemukakan. Saya berikan hujah pada sebab musabab perkara yang sudah dibuat. Beliau masih berkeras dan mahu memanjangkan hal ini dengan menyebut tentang akta 171. Walhal, saya tak pernah tahu pun apakah akta 171 itu. Setelah hampir setengah jam kami bertegang leher mempertahankan tindakan masing-masing, saya diputuskan untuk menghadap Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar tepat jam 8.30 pagi keesokkan harinya.

Malam itu saya tidak dapat tidur lena kerana sedang menyusun alasan dan jawapan yang akan saya berikan. Saya tidak mahu memikirkan apakah akan terjadi pada saya keesokkan hari. Saya percaya dan yakin dengan apa yang saya telah buat bukanlah satu kesalahan. Beberapa orang teman telah bersedia untuk membantu dan sanggup menjadi saksi kepada saya jika saya tidak dapat mempertahankan diri. Dengan berbekalkan semangat dan bertawakal pada Allah, seawal jam lapan pagi saya setia menunggu Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar MPTI (ketika itu di jawat oleh Tuan Hj Maadon). Beliau yang baru tiba dengan kenderaannya tersenyum memandang saya yang lebih awal tiba dari dia. Saya dijemput ke bilik dan saya menerangkan peristiwa yang berlaku dan dengan sehabis sopan, menjelaskan sebab saya berbuat begitu. Ketika itulah En. Baharom tiba. Selesai bahagian saya, saya diminta tunggu diluar bilik. Ketika itulah En Baharom masuk untuk keterangan dia pula. Setelah selesai En. Baharom melangkah keluar dengan wajah yang serius. Saya di panggil semula ke dalam bilik Tn. Hj. Maadon. Saya telah dinasihatkan agar tidak meneruskan aktiviti saya kerana tidak ada keizinan untuk membuat demikian. Pendek kata, saya tidak ada permit. Permit boleh dimohon dengan menyediakan kertas kerja lengkap berkenaan dengan aktiviti yang saya cadangkan dan kemudiannya akan di nilai untuk mendapat keizinan daripada Tuan Pengarah MPTI.

Apakah yang bermain di fikiran saya ketika itu? Potensi saya sedang disekat dari terus berkembang. Jasmani saya direman untuk tidak beraksi. Emosi saya terganggu kerana kacau bilau dengan mana yang boleh dan mana yang tidak. Rohani saya terbelengu dengan perkara salah atau betul apa yang saya telah buat. Intelek saya sedang di padam untuk tidak terus menyala. Dalam hati saya tertanya-tanya apakah gunanya Falsafah Pendidikan Kebangsaan jika tidak dilaksanakan. Namun saya tidak terus mengalah, saya terus berhajat untuk menjadikan tangga kafetaria sebagai medan luahan perasaan bagi sesiapa sahaja yang ingin berkongsi mendengarnya dengan menyediakan kertas kerja.

Namun, kertas kerja hanya tinggal kertas kerja. saya ingin menyambung cerita ini di lain masa dan kesempatan. Kerana saya ingin berkongsi bagaimana saya terpaksa berulang kali turun naik tangga HEP untuk menghantar kertas kerja

5 comments:

Anonymous said...

nukilan menarik. syabas. aksi kau diluar kotak mereka. ada yg tak setuju. bagi aku rasa tak jadi kesalahan asal tak melampau. teruskan.

p/s komen ni agak terlewat

Anonymous said...

Cool blog, interesting information... Keep it UP » »

Anonymous said...

What a great site » » »

Anonymous said...

hehaha..nice2..akta 174 kot skarang pakai..saya pun pelatih opsyen muzik jugak skarang ni...ipgm kampus perlis..yaa..bukan senang nak hidupkan muzik dalam ipg..lagi2 saye seorang pelatih perempuan..tp busking is nice!i used 2 do it wid my frenz..

Anonymous said...

u r wonderful teacher...
bcoz u have an ability to make students laugh....
hmmmm.....satu cara yang kreatif untuk plajar lbh faham apa itu muzik...bkan sekadar mndngar dan mnyanyi walaupun suara 'kosong'...tahniah...tp sy tak sokong kalo ramai pnyanyi yang akan dihasilkan lbh2 lagi kalo dia itu bergelar perempuan...