Pertama kali aku mengusung orang pengsan masa aku bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasaraya Makro di Cheras, Kuala Lumpur. Ketika itu, aku antara orang yang terawal ternampak seorang ibu muda yang sedang hamil terbaring di atas lantai pasaraya. Wanita itu juga adalah salah seorang juruwang disitu. Ketika itu aku baru sahaja habis bertugas dan perlu ke pejabat untuk ‘punch out’. Aku bersama dengan seorang rakan wanita yang sejawat, dalam perjalanan melintasi kaunter juruwang.
Dengan kedudukan yang sedikit terlindung, menyebabkan tiada siapa yang menyedarinya. Aku sendiri tidak tahu sudah berapa lama wanita hamil itu telah pengsan. Aku dan rakan (wanita) bergegas mendapatkannya. Pertama kali berhadapan dengan keadaan itu, membuatkan aku sedikit gelabah dan panik. Hendak pula, pesakitnya seorang perempuan muda yang hamil. Hendak di pegang tangan, rasa bersalah, nak pegang bahu, rasa bersalah juga. Hendak dipegang punggung, takut orang kata ambil kesempatan pula. Kebetulan aku sahaja orang lelaki yang ada disitu. Hendak harapkan orang lain, semuanya perempuan. Manalah mereka terlarat untuk mengangkat seorang wanita yang hamil itu.
Setelah beberapa orang rakan menyedari tindak tanduk aku yang serba salah itu, seorang rakan terus bersuara untuk aku terus sahaja mengangkat wanita itu. Almaklumlah, agaknya atas faktor badan aku yang besar ini, memang tugas aku untuk mengangkat orang. Terus aku buang perasaan malu itu. Dalam kes kecemasan sebegini, halalkan sahaja perbuatan aku itu. Tetapi memang ternyata seorang wanita yang hamil memang berat, tersangat berat. Terseksa juga aku nak mengangkatnya. Entah bagaimana agaknya seorang ibu hamil yang sarat sembilan bulan membawa badannya? Aku pula terpaksa mengambil jarak yang jauh untuk sampai ke kenderaan yang berhampiran. Mujur rakan-rakan yang ada turut sama mengendong. Pegang kaki, pegang kepala untuk meringankan bebannya. Memang selepas itu, lenguh juga lengan aku.
Hari ini tugas aku mengendong orang pengsan berlaku lagi. SKTSP hari ini sedang berlangsung kejohanan olahraga tahunan kali ke 10. Aku sebagai AJK Badan Kebajikan Guru & Kakitangan sedang sibuk melariskan barangan dan makanan yang kelab kami jual. Memang ternyata sibuk sungguh ketika itu. Di padang baru sahaja selesai acara perbarisan dan YB yang berucap baru sahaja merasmikannya. Hari sudah tengahari dan semakin panas. Dalam kesibukan itu, seorang guru, Cik Norazila bergegas mendapatkan aku. Katanya ada murid pengsan.
Aku yang sedang ‘tak menang tangan’ membungkus burger ayam untuk dijual, terus meninggalkan kerja aku. Aku bergegas ke tempat murid yang sedang berkerumun. Ku perhatikan Cik Rokiah sedang mengipas seorang murid yang terbaring dan tercungap-cungap itu. Beliau lantas melambai aku. Aku mengusir murid lain agar tidak menghampiri. Atas pengalaman sebelumnya, aku terus mendakap dan mengendong budak tahun enam itu. Mujurlah badannya tak sebesar mana dan tidak memerlukan sepenuh kudrat untuk mengangkatnya. Dengan pantas, bergegas untuk mendapatkan kenderaan untuk dibawa ke klinik berhampiran.
Sampai di klinik, murid tadi masih tercungap-cungap. Nafasnya masih sesak. Doktor tidak dapat mengesan apakah sebenarnya punca masalah murid itu. Lagi sekali aku ditugaskan mendapatkan ibu mangsa untuk mengenalpasti rekod kesihatan murid terbabit. Aku dan Cikgu Rokiah menjemput ibu mangsa dirumah. Apa yang dilaporkan oleh doktor, murid ini bukannya ada lelah, tetapi sebenarnya kekurangan oksigen kerana terlalu lama berjemur ditengah panas barangkali. Ambulan dipanggil untuk menghantar murid terbabit ke hospital memandangkan klinik terbabit tidak mempunyai bekalan oksigen. Ibu mangsa yang juga ibu kepada lapan orang anak itu tidak dapat mengikut untuk ke Hospital Sultanah Aminah memikirkan anak-anak yang ditinggalkan dirumah. Dia hanya sekadar dapat menghubungi suaminya yang sedang bertugas untuk segera ke hospital. Sekali lagi aku dan Cikgu Rokiah memikul tanggungjawab mengikut ambulan ke hospital.
Sampai di wad kecemasan, murid terbabit dibekalkan dengan oksigen. Keadaannya beransur baik. Dia berhenti mencungap. Tapi badannya masih nampak lemah. Setelah bapanya tiba, doktor mengizinkan murid terbabit dibawa pulang dan disuruh berehat.
Ada beberapa perkara yang aku dapat hari ini. Pertama sekali, pentingnya persediaan awal terhadap kes-kes kecemasan dalam sesuatu majlis sebesar acara olahraga ini. Sepatutnya perlunya wujud AJK khas yang sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Aku bersetuju dengan Cikgu Rokiah, sepatutnya kita perlu sediakan sebiji ambulan untuk setiap kali olahraga diadakan. Dengan murid yang lebih daripada 1500 orang, belum termasuk orang luar dan ibu bapa itu, pelbagai perkara boleh berlaku. Perlunya persediaan awal.
Seperkara lagi, aku sedikit terkejut dengan respon bapa murid yang terlibat. Bapa mangsa seorang yang terlalu sibuk dengan tugas dan kurang memberi perhatian terhadap anak-anak. Dia sendiri mengakuinya. Hinggakan anaknya yang kedua pun tidak diketahui sama ada dalam tahun 3 atau 4. Tapi sekurang-kurangnya dia bertanggungjawab untuk meninggalkan tugasnya dan datang ke hospital. Daripada cerita Cikgu Rokiah, mereka ini tergolong dalam keluarga yang susah. Bapanya bekerja keras untuk menjaga ibu yang sudah tua, adik yang sudah menjanda, selain isteri dan 8 orang anak-anak yang sedang membesar. Kata Cikgu Rokiah, yuran anak-anaknya pun tidak terjelas oleh ayahnya.
Dan akhir sekali, aku rasa orang lain harus lebih bertanggungjawab selepas ini. guru-guru khasnya. Janganlah terlalu sibuk dengan sukan dan berniaga sahaja (termasuklah aku) kebajikan dan keselamatan murid patut diutamakan. Terutama dalam pemilihan sebagai atlit, anggota perbarisan atau apa sahaja. Murid-murid yang mempunyai masalah kesihatan diterhadkan penglibatannya. Daripada kata Cikgu Rokiah tadi, hampir 15 minit dia menunggu bantuan sampai setelah budak perempuan itu pengsan. Dia sendiri tidak terlarat untuk mengangkat. Mujurlah dia ahli pandu puteri, tahulah serba sedikit rawatan kecemasan. Sepatutnya kita jadi lebih prihatin. Seramai-ramai orang di SKTSP hari ini, tetapi hanya sekadar memandang sahaja apalah gunanya. Nak tunggu ada yang mati baru nak menyesal agaknya..
No comments:
Post a Comment