Saturday, July 01, 2006

Melagukan Sajak

Dalam proses mengarang lagu sajak, seboleh-bolehnya saya tidak memegang sebarang alat muzik terlebih dahulu. Pada kebiasaannya, mungkin orang lain juga, sedaya upaya haruslah kita memahami terlebih dahulu isi sajak. Biarpun hanya faham dalam konteks sendiri. Setiap orang yang membaca sesuatu sajak itu, pasti mempunyai pandangannya sendiri tentang makna sajak yang dibaca. Ianya bergantung setakat mana pengalaman pembaca berkaitan isi sajak.

Semasa proses membaca, dengan sendirinya, melodi bagi bait-bait kata pada sajak bermain-main dan berlegar-legar di kepala. Perkara ini terjadi bergantung kepada setakat mana pengalaman penciptanya mengumpul melodi-melodi didalam kotak memorinya. Pendek kata, seberapa banyak lagu yang sudah dihadam dan melodinya melekat betul-betul didalam otak.

Daripada idea spontan inilah, ianya akan berkembang jika berterusan hingga membawa saya mencapai gitar atau kibod. Jika ada alat perakam, segerakanlah merakamkannya. Disinilah berlakunya melodi yang mengikut kord lagu, kord lagu yang mengikut melodi (ada bezanya) dan melodi yang mengikut sukukata-sukukata tertentu. Ada ketikanya, melodi yang terhasil, saya tidak terjumpa pula kord yang sesuai.

Proses ini akan berlaku berulang-ulang dan ada dua kemungkinan, pertama; saya bosan dan buntu, maka berhentilah daripada meneruskannya. Kedua; tercipta melodi yang segar dan baru. Pastikan melodi yang sudah ‘menjadi’ tadi telah terakam sebelum berhenti. Ilham itu senang datang dan pergi. Oleh itu, jangan membazir.

Sajak yang mudah dilagukan ialah sajak yang telah tersedia terbentuk 2 atau 3 verse, 1 atau 2 korus dan mungkin ada 1 coda. Atau dalam kata mudah, mempunyai perenggan-perenggan tertentu di mana penggubah dapat membentuk struktur lagu tersebut. Struktur AABB atau AABBC atau ABAB dan mempunyai sukukata yang seragam dan berima tersendiri bagi setiap perenggan. Namun, ini adalah hak penulis sajak. Jika kehendaknya ABCD atau AGZKOPW atau apa saja. Suka hatilah. Memang sukarlah untuk dilagukan.

Proses mengarang melodi pada sajak ini, kadang-kadang berlanjutan sehingga berhari-hari lamanya. Dua sebab, malas atau buntu (sayalah agaknya, sibuk bekerjalah!). Kadang-kadang boleh siap dalam tempoh sejam sahaja. Bergantung kepada keadaan emosi, mental dan fizikal juga barangkali. Kadang-kadang yang segera itu lebih baik hasilnya berbanding idea yang diperah berminggu-minggu.

Setelah berpuas hati pada batang tubuh lagu yang dicipta, melalui proses yang berulang-ulang dan pelbagai tapisan, maka sampailah kepada kerja-kerja menyusun muzik (music arrangement). Ini satu lagi bab yang ingin saya huraikan dengan panjang lebarnya. Tetapi, cukuplah untuk yang ini. Mungkin ada yang sudah kepenatan membacanya.

Saya mungkin tidak setinggi mana ilmunya. Tetapi apa yang ditulis, sekadar ingin berkongsi pengalaman yang ada. Anda berhak menolak, menapis dan membakulsampahkan tulisan ini. Saya masih lagi belajar dan belajar. Teguran itu, sudah biasa saya hadam. Sesungguhnya, suara saya sumbang, irama saya songsang. Tetapi, karang terus karang kerana jalan saya bukan mengundur kebelakang.

gitartong

*Artikel ini dipetik dari komuniti lagu puisi di laman http://www.esastera.com . Jemputlah kesana dan masuk komuniti. Saya baru sahaja dilantik semalam sebagai administrator bagi komuniti itu (lagu puisi). Boleh sumbangkan karya seperti sajak, pantun, cerpen, lagu dan sebagainya. berbudi tanda berbahasa.. cinta bahasa, cinta mulia.. sila-sila.. sambil-sambil mengunyah!

6 comments:

Syikin said...

tahniah cikgu atas perlantikan tu :)

isteri sihat? bila duenya?

kingbinjai said...

ah! tidak sangka suakrnya untuk membuat lagu puisi ya

bunga rampai said...

Salam.
Tahniah. Anda memang seorang cikgu yang bergaya! Teruskan usaha. Saya sokong dari jauh namun dekat di hati.

p/s kenapa ya, lagu yang dimainkan asyik tersangkut-sangkut. Atau pc saya yang sakit?

gitartong said...

syikin
alhamdulillah sihat. dan semakin sihat. terima kasih

king binjai
susah bro. tu belum part arrangement! jenuh membancuhnya..

bunga rampai
jom je esastera. anda kan mahir menulis sajak! memang lambat sikit jika guna dial up atau streamyx below 512 byte/s. sabar.. haha!

Tok Rimau said...

Terimakasih kerana sudi menjemput Tok ke studio.

Seperti yang Tok katakan, Tok terkasima mendengar lagu Minah Memulas Mesin Masa. Tok takut dengan masuknya suara Tok, untuk la la la la sekali pun akan merosakkan lagu.

Tok ni makhluk perosak.

part "dulu, dulu, cerita dulu, cerita dulu" catchy. Dalam kereta tok asyik nyanyi part tu je. Ulang ulang.

Anonymous said...

Very cool design! Useful information. Go on! » » »