Monday, February 27, 2006

Jadual waktu baru lagi?

Aku rasa lebih bersemangat dengan jadual waktu yang terkini sebelum yang terkini kini. Berapa banyak kini? Baru 2 bulan mula sekolah untuk sesi 2006 ini sudah 4 kali tukar jadual waktu. Termasuk jadual waktu kelas mahupun persendirian. Puncanya, banyak sebab, mula-mula pasal kurang guru. Masuk guru baru 'posting' dari maktab. tukar jadual lagi. Lepas tu guru-guru BI dari sabah dan sarawak pula masuk. Tukar jadual lagi. Kemudian, masuk pula guru-guru JQAF (Jawi, Quran, Arab, Fardhu Ain). Tukar jadual lagi. Lepas ini pula, ada 2 orang guru Agama pula yang masih belum-belum masuk lagi. Akan bertukar jadual lagi.

Tapi aku rasa sudah tidak melibatkan jadual waktu persendirian aku lagi. Sebab memang sudah sah yang aku terus mengajar Bahasa Melayu untuk Tahun 2 Pintar (Kelas aku) dan akan menambah matapelajaran Pendidikan Muzik untuk semua Tahun 3 dan untuk kelas yang aku pegang sahaja. Barulah bersemangat sikit. Bukan aku benci nak mengajar Bahasa Melayu. Tapi sudah bukan bidang aku. Buat apalah aku nak sibuk dalam Panatia Bahasa Melayu. Baik aku teruskan agenda aku yang terbantut dalam 2 bulan ini. Budak Tahun 3 sekarang ini kebanyakkannya murid-murid yang aku mengajar muzik masa tahun 2 dulu. Ada kemahiran yang mereka sudah ada. Jadi tiada apa yang dapat menghalang aku untuk meneruskan agenda aku.

Perlahan-perlahan aku akan buat mereka jadi seronok dengan muzik. Kena tambah apa yang kurang. Terutama bab vokal dan kemahiran permainan alat. Tahun depan mereka ni sudah tahun 4 dan akan ke sekolah pagi. Aku nak ikut mereka ke sekolah pagi. Jadi, tahun depan aku nak 'offer' diri untuk bertanding untuk koir daerah kulai. Lagipun, murid yang tahun 4 sekarang ada juga bekas tangan aku masa mereka darjah 3 dulu. Aku mesti dapat kumpul mereka yang mempunyai vokal yang mantap. Ya! kena rancang strategi dengan betul kali ini!

Satu masalah lagi, tempat latihan pula. Masalah juga bila aku lepaskan bilik tayang dulu. Guru-guru pagi ramai yang berebut untuk guna bilik tayang. Masalah besar ni. Di mana kami hendak berlatih nanti? Memang sepatutnya setiap sekolahkan kena ada bilik muzik? haa!! mungkin aku boleh bincang dengan Cikgu Azmi untuk guna bilik makmal komputer sebelah yang kosong itu. Kali ni, lagu kena kuat, vokal budak kena lebih mantap. 'Harmonizing' pun kena cantik. haaa! aku selalu lupa, 'dinamik' dan 'attack' pun kena jaga. Pengalaman lalu telah mendewasakan. Tahun depan aku nak kalahkan sekolah budak-budak cina segamat! dasat mereka ini.

Kalau kawan-kawan ada skor arrangement vokal yang baik, hantarlah pada aku..

Sunday, February 26, 2006

Pengsan!

Pertama kali aku mengusung orang pengsan masa aku bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasaraya Makro di Cheras, Kuala Lumpur. Ketika itu, aku antara orang yang terawal ternampak seorang ibu muda yang sedang hamil terbaring di atas lantai pasaraya. Wanita itu juga adalah salah seorang juruwang disitu. Ketika itu aku baru sahaja habis bertugas dan perlu ke pejabat untuk ‘punch out’. Aku bersama dengan seorang rakan wanita yang sejawat, dalam perjalanan melintasi kaunter juruwang.

Dengan kedudukan yang sedikit terlindung, menyebabkan tiada siapa yang menyedarinya. Aku sendiri tidak tahu sudah berapa lama wanita hamil itu telah pengsan. Aku dan rakan (wanita) bergegas mendapatkannya. Pertama kali berhadapan dengan keadaan itu, membuatkan aku sedikit gelabah dan panik. Hendak pula, pesakitnya seorang perempuan muda yang hamil. Hendak di pegang tangan, rasa bersalah, nak pegang bahu, rasa bersalah juga. Hendak dipegang punggung, takut orang kata ambil kesempatan pula. Kebetulan aku sahaja orang lelaki yang ada disitu. Hendak harapkan orang lain, semuanya perempuan. Manalah mereka terlarat untuk mengangkat seorang wanita yang hamil itu.

Setelah beberapa orang rakan menyedari tindak tanduk aku yang serba salah itu, seorang rakan terus bersuara untuk aku terus sahaja mengangkat wanita itu. Almaklumlah, agaknya atas faktor badan aku yang besar ini, memang tugas aku untuk mengangkat orang. Terus aku buang perasaan malu itu. Dalam kes kecemasan sebegini, halalkan sahaja perbuatan aku itu. Tetapi memang ternyata seorang wanita yang hamil memang berat, tersangat berat. Terseksa juga aku nak mengangkatnya. Entah bagaimana agaknya seorang ibu hamil yang sarat sembilan bulan membawa badannya? Aku pula terpaksa mengambil jarak yang jauh untuk sampai ke kenderaan yang berhampiran. Mujur rakan-rakan yang ada turut sama mengendong. Pegang kaki, pegang kepala untuk meringankan bebannya. Memang selepas itu, lenguh juga lengan aku.

Hari ini tugas aku mengendong orang pengsan berlaku lagi. SKTSP hari ini sedang berlangsung kejohanan olahraga tahunan kali ke 10. Aku sebagai AJK Badan Kebajikan Guru & Kakitangan sedang sibuk melariskan barangan dan makanan yang kelab kami jual. Memang ternyata sibuk sungguh ketika itu. Di padang baru sahaja selesai acara perbarisan dan YB yang berucap baru sahaja merasmikannya. Hari sudah tengahari dan semakin panas. Dalam kesibukan itu, seorang guru, Cik Norazila bergegas mendapatkan aku. Katanya ada murid pengsan.

Aku yang sedang ‘tak menang tangan’ membungkus burger ayam untuk dijual, terus meninggalkan kerja aku. Aku bergegas ke tempat murid yang sedang berkerumun. Ku perhatikan Cik Rokiah sedang mengipas seorang murid yang terbaring dan tercungap-cungap itu. Beliau lantas melambai aku. Aku mengusir murid lain agar tidak menghampiri. Atas pengalaman sebelumnya, aku terus mendakap dan mengendong budak tahun enam itu. Mujurlah badannya tak sebesar mana dan tidak memerlukan sepenuh kudrat untuk mengangkatnya. Dengan pantas, bergegas untuk mendapatkan kenderaan untuk dibawa ke klinik berhampiran.

Sampai di klinik, murid tadi masih tercungap-cungap. Nafasnya masih sesak. Doktor tidak dapat mengesan apakah sebenarnya punca masalah murid itu. Lagi sekali aku ditugaskan mendapatkan ibu mangsa untuk mengenalpasti rekod kesihatan murid terbabit. Aku dan Cikgu Rokiah menjemput ibu mangsa dirumah. Apa yang dilaporkan oleh doktor, murid ini bukannya ada lelah, tetapi sebenarnya kekurangan oksigen kerana terlalu lama berjemur ditengah panas barangkali. Ambulan dipanggil untuk menghantar murid terbabit ke hospital memandangkan klinik terbabit tidak mempunyai bekalan oksigen. Ibu mangsa yang juga ibu kepada lapan orang anak itu tidak dapat mengikut untuk ke Hospital Sultanah Aminah memikirkan anak-anak yang ditinggalkan dirumah. Dia hanya sekadar dapat menghubungi suaminya yang sedang bertugas untuk segera ke hospital. Sekali lagi aku dan Cikgu Rokiah memikul tanggungjawab mengikut ambulan ke hospital.

Sampai di wad kecemasan, murid terbabit dibekalkan dengan oksigen. Keadaannya beransur baik. Dia berhenti mencungap. Tapi badannya masih nampak lemah. Setelah bapanya tiba, doktor mengizinkan murid terbabit dibawa pulang dan disuruh berehat.

Ada beberapa perkara yang aku dapat hari ini. Pertama sekali, pentingnya persediaan awal terhadap kes-kes kecemasan dalam sesuatu majlis sebesar acara olahraga ini. Sepatutnya perlunya wujud AJK khas yang sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Aku bersetuju dengan Cikgu Rokiah, sepatutnya kita perlu sediakan sebiji ambulan untuk setiap kali olahraga diadakan. Dengan murid yang lebih daripada 1500 orang, belum termasuk orang luar dan ibu bapa itu, pelbagai perkara boleh berlaku. Perlunya persediaan awal.

Seperkara lagi, aku sedikit terkejut dengan respon bapa murid yang terlibat. Bapa mangsa seorang yang terlalu sibuk dengan tugas dan kurang memberi perhatian terhadap anak-anak. Dia sendiri mengakuinya. Hinggakan anaknya yang kedua pun tidak diketahui sama ada dalam tahun 3 atau 4. Tapi sekurang-kurangnya dia bertanggungjawab untuk meninggalkan tugasnya dan datang ke hospital. Daripada cerita Cikgu Rokiah, mereka ini tergolong dalam keluarga yang susah. Bapanya bekerja keras untuk menjaga ibu yang sudah tua, adik yang sudah menjanda, selain isteri dan 8 orang anak-anak yang sedang membesar. Kata Cikgu Rokiah, yuran anak-anaknya pun tidak terjelas oleh ayahnya.

Dan akhir sekali, aku rasa orang lain harus lebih bertanggungjawab selepas ini. guru-guru khasnya. Janganlah terlalu sibuk dengan sukan dan berniaga sahaja (termasuklah aku) kebajikan dan keselamatan murid patut diutamakan. Terutama dalam pemilihan sebagai atlit, anggota perbarisan atau apa sahaja. Murid-murid yang mempunyai masalah kesihatan diterhadkan penglibatannya. Daripada kata Cikgu Rokiah tadi, hampir 15 minit dia menunggu bantuan sampai setelah budak perempuan itu pengsan. Dia sendiri tidak terlarat untuk mengangkat. Mujurlah dia ahli pandu puteri, tahulah serba sedikit rawatan kecemasan. Sepatutnya kita jadi lebih prihatin. Seramai-ramai orang di SKTSP hari ini, tetapi hanya sekadar memandang sahaja apalah gunanya. Nak tunggu ada yang mati baru nak menyesal agaknya..

Wednesday, February 22, 2006

Ceritera Bersama Karyawan Sastera: Azhar Salleh

CERITERA BERSAMA KARYAWAN SASTERA: AZHAR SALLEH (GENRE PUISI)

Pada: 4 MAC 2006 (SABTU)
Masa: 9.00 Pagi- 10.30 Pagi
Tempat: Balai Seminar DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru.
Pakaian: Kemas/ Sopan
Maklumat lanjut: 1. Rusdi Abd. Rahman (07-2358802)
2. Mohd Rizal Mohd Ali (07-2368282)

Pengenalan:
Ceritera Bersama Karyawan Sastera merupakan sebuah program 'santai sastera' yang diadakan dalam konsep mengundang karyawan sastera terutamanya karyawan muda dalam pelbagai genre sastera. Karyawan muda akan memperkatakan tentang pengalaman menulis atau penglibatan bergiat dalam sastera sama ada peringkat negeri mahupun kebangsaan. Karyawan muda juga akan memberi serba sedikit panduan kepada khalayak untuk menjadi karyawan sastera yang berkualiti dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

matlamat:
i. Meningkatkan apresiasi sastera melalui pengalaman karyawan sastera.
ii. Mengetengahkan dan mendedahkan hasil kerja dan karya penulis dan penggiat sastera kepada masyarakat.
iii. Melahirkan masyarakat yang dapat menyelami penyampaian mesej yang tersirat dalam program sastera yang dibicarakan.
iv. mewujudkan masyarakat yang bijak menilai, menghargai, dan memanfaatkan pengalaman karyawan sastera.

ATUR CARA PROGRAM

9.00 pagi : Ketibaan Tetamu Jemputan dan Hadirin
9.30 pagi : Sesi Bersama Karyawan Sastera
10.10 pagi : Sesi Soal Jawab
10.30 pagi : Jamuan Ringan dan Bersurai

Saturday, February 18, 2006

Satu Garis Hitam




Kembara malam

Dari titik ke titik
Ku tarik satu garis
Satu garis hitam

Satu garis hitam
Dari kembara malam

Suka dan duka berkejaran di keningnya
Hari dan nadi berkejaran di sampingnya


Berikut adalah petikan sajak yang ditulis oleh Abdul Latip Mohidin yang merupakan sebuah lagu dendangan Kopratasa. Kali pertama saya mendengar lagu tersebut melalui album kompilasinya “Sesetia Malam”. Saya tidak berpeluang untuk mendengar lagu tersebut daripada album asalnya kerana saya tidak pernah ambil tahu tentang Kopratasa sebelum itu. Walaupun nama Kopratasa cukup popular dengan lagu Masihkah Kau Ingat satu ketika dahulu.

Pada awal pembabitan, saya lebih cenderung pada irama lagu rock melayu dan inggeris. Semenjak daripada sekolah menengah lagi, saya sudah mula mengusung gitar tong saya ke hulu kehilir untuk belajar memetiknya. Kalau saya tahu dimana-mana ada mat rock yang handal bermain gitar, disitulah saya berkampung. Saya bersanggupan untuk berjalan kaki lebih 10 kilometer untuk melepak setiap kali habis waktu persekolahan semata-mata untuk belajar bermain dan menyanyi menghiburkan hati.

Untuk melengkapkan minat dan dipengaruhi rakan-rakan sealiran, saya menghimpunkan rakan-rakan lain untuk menubuhkan sebuah band. Seremaja usia 16 tahun, saya ada grup saya sendiri dan berjaya menghasilkan kaset demo kami sendiri. Aliran kami ganas, bukan sekadar rock biasa, tapi terjun dalam ‘underground scene’ apabila memilih untuk aktif dalam ‘scene’ BLACK METAL. Kalau sekadar menconteng muka, bermain dengan semburan api, sudah terlebih dahulu saya buat. Tapi saya tidak pernah terfikir untuk membakar Al-Quran dan meminum darah kambing sahaja (ada ke?) dan.. saya hanya makan daging kambing.

Memang sudah lumrah remaja, sentiasa ingin mencuba membuat sesuatu yang lain dari yang lain, saya turut terpengaruh dengan kehidupan yang hitam (BLACK). Dari titik ke titik kehidupan, saya menempuh satu zaman gelap yang saya sendiri memilih untuk memasukinya. Dalam kembara malam mencari identiti dan mengenal diri, dunia remaja saya telah dirosakkan dengan keadaan dan persekitaran. Kami mabuk dengan lagu, dengan muzik, dengan jamming, dengan apa sahaja yang kami ingin lakukan. Kami tidak pernah ambil tahu tentang buruk atau baik tindakan yang dilakukan dari pandangan agama mahupun masyarakat. Dunia yang ‘BLACK’ itu bertahun-tahun saya tempuhi. Hinggakan pada satu ketikanya saya rasa tidak mampu keluar darinya.



Bukan salah ibu mengandung atau bapa yang tidak mendidik. Mereka juga seperti ibubapa orang lain yang juga mengharapkan anak-anak dapat memilih haluan hidup dan masa depan sendiri. Abah puas merotan, mak sudah puas menangis. Tetapi si anak masih memilih antara kecenderungan dan nafsu. Kekeliruan inilah yang menyebabkan saya menterjebakkan diri yang juga turut dipengaruhi rakan sealiran.

Hinggakan pada satu tahap, saya keluar membawa diri. Jauh dari rakan-rakan. Saya nekad membuang naluri nafsu yang kotor dan jahat itu. Tapi masih aktif dengan minat dan kecenderungan. Saya tarik garis hitam dari kembaraan saya dalam hidup. Saya buang jauh-jauh. Saya mula mencari cinta yang hilang (Kopratasa). Saya mula insaf dengan diri yang kita sekadar tetamu senja (Kopratasa). Saya cuba mengenali engkau yang satu (Ramli Sarip) dan memohon hidayah (M.Nasir) dariNya.

Saya mula terjun dalam aliran yang baru. Mengenal melayu dalam anak-anak kita dan mentera semerah padi (M.Nasir). mengenali tuhan dalam ketika bumi ini dan kantata takwa (Iwan Fals). Saya mula berminat dalam tulisan berkaitan seni. Saya tertarik pada bahasa dalam kalam tuhan (Ramli Sarip). Saya mula mendekati dan mendengar susunan muzik yang lebih matang dan spiritual. Saya teruja dengan lirik bahasa yang melankolik dan puitis. Saya dewasa dengan lagu-lagu yang menjana pemikiran.

Walaupun begitu, saya tetap tidak berubah pada minat saya. Saya masih perlu berkumpul dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Ada ketika, kami berbincang tentang lagu, muzik, filem dan kadang-kadang berhujah dan berdebat tentangnya. Memang saya tidak ketahui, darah seni siapa yang mengalir dalam diri ini. Nak dikata ibu bapa, tidak juga. Nenek moyang agaknya. Adik-beradik pun tiada minat yang serupa.

Hari ini saya masih lagi mabuk, tapi dalam konteks halal. Saya masih lagi teruja pada muzik dan seni. Saya boleh duduk duduk di hadapan komputer untuk memerah idea menyusun muzik berjam-jam lamanya. Saya khayal dengan lagu-lagu mengusik jiwa dan kenangan saya seperti lagu kembara malam (Kopratasa). Saya ‘busking’ untuk melepaskan tekanan. Saya berbangga dapat menarik garis hitam.

Tapi kenapa dulu saya bergantung pada benda yang haram ye?

Wednesday, February 15, 2006

Siapa nak tolong aku?

Apa cara lagi untuk memastikan line atas padang takkan padam walaupun sampai bila-bila? Sebab aku dah malas nak buat line pada padang setiap kali kejohanan sukan sekolah. Setiap tahun kena lantik AJK untuk buat padang. Bukankah sudah membuang masa dan tenaga? Dalam kejohanan sebagini tentunya ada banyak tugas dan tenaga yang diperlukan. Jadi, kalau dapat kurangkan tugas, boleh juga diserapkan tenaga ke bahagian lain. Sebab selama hari ini kaedah menggunakan minyak hitam dengan 'roller' mungkin dah ketinggalan zaman. Mungkin boleh cadangkan buat pakai batu mozek yang disusun. Tapi nampak macam memenatkan juga. kalau tertanggal pula, kan menyusahkan.

Tugas di sekolah semakin hari semakin banyak. Kalau tertangguh-tangguh memang jadi teruk. Macam-macam program dan aktiviti hendak dijalankan sekarang. Diperlukan segera diselesaikan sekarang ini ialah Kejohanan Sukan. Elok selesai cepat. Kejohanan yang besar sebegini, memenatkan. Hari Jumaat ini ada Majlis Assyura pula. Juga dijalankan dalam keadaan yang tidak teratur. Ramai juga yang tidak berpuas hati. Tapi tak dapat nak luahkan sebab tidak ada sebarang mesyuarat dijalankan. Tapi ada cadangan nak buat post mortem lepas ni kalau ada peluang dalam mesyuarat. Bagus juga. Boleh lepas geram.

Paling aku kasihan pada Rumah Zamrud. Sudahlah waktu latihan yang tidak kerap, terganggu pula dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk berlatih, ditambah pula cikgu-cikgunya yang tidak komited. Dari mula berlatih sampai ke hari ini, langsung tidak nampak muka. Ada yang datang sekadar tunjuk muka. lepas itu buat tak tahu. macamlah baru jadi cikgu, tak tahu nak buat apa. Kasihan budak-budak. Apalah nasib dapat masuk Rumah Zamrud. Kemahiran ada tapi tidak dapat nak menonjol sangat. Sebab yang 'excited' dalam sukan ni biasanya budak-budaklah.

Aku tak hendak menyenaraikan kerja-kerja aku yang tengah melambak ni.. tapi aku nak tanya, ada sesiapa yang hendak tolong aku siapkan??

bisu...

Tuesday, February 14, 2006

Adik-beradik



Aku ada seorang kakak. Dialah satu-satunya adik-beradik perempuan dalam keluarga kami. Aku, sebagai abang sulong kepada tiga orang adik beradik lelaki, adalah jenis yang keras kepala dan degil pada zaman budak-budak dulu. Aku ingat lagi, adik-adik aku pernah aku sepak-sepak satu masa dulu. Di sebabkan jarak antara umur kami (adik-beradik lelaki) tidaklah terlalu jauh berbanding jarak diantara aku dengan kakak aku. Jadi, kawan-kawan aku adalah kawan-kawan adik-adik aku juga. Apa yang aku mainkan, mereka pun nak turut serta hendak bermain. Kemana aku dan kawan-kawan pergi, adik-adik aku pun turut serta hendak pergi. Masa tu aku rimas, apa yang aku nak buat, adik-adik aku nak buat. Aku sanggup ketuk kepala adik aku kerana berebutkan raket badminton.

Kakak? Aku tak pernah peduli sangat dengan along dulu. Along masa tu dengan dunia dia yang aku tak berapa faham dan aku malas nak faham. Sebab dia takkan nak main menyorok-nyorok dalam longkang yang ada sampah dengan lipas. Takkan along nak main baling-baling selipar dan susun tin dengan kawan-kawan aku ataupun permainan yang kotor dan lasak macam main perang-perang. Sudahnya aku tak berapa kisah dengan apa yang along buat. Sebab apa yang dia buat aku tak berminat. Takkan aku nak sibuk mengait corak sulaman bunga atas kain, takkan aku nak sibuk dengan orang perempuan punya aktiviti yang tak sesuai langsung dengan aktiviti aku sebagai budak lelaki masa itu?

Tapi itu dulu, masa zaman kami membesar, tapi hari ini kami adik beradik saling hormat menghormati dengan kerjaya dan kehidupan masing-masing. Setiap kali berpeluang berkumpul bersama, masing-masing rancak bercerita tentang perancangan, halatuju, misi dan visi masing-masing. Along yang sudah berkeluarga dan kini dengan dua orang cahayamata lelaki dan seorang perempuan menambah seri keluarga kami.

Adik lelaki bawah aku, dah langkah bendul aku. Kalau masa budak-budak dulu, memang pantang aku kalau dia yang mula dulu, memang siaplah aku kerjakan. Sudahnya aku juga yang kena libas dengan arwah abah. Tak nak beralah dengan adik-adik katanya. Tapi hari ni sekarang aku tidaklah kisah sangat. Dah jodoh dia sampai dulu dan dia pun dah bersedia. Jalanlah dulu.. Sudah hampir setengah tahun dia bergelar suami sekarang. Semoga berkekalan.

Disebabkan majoriti penghuni didalam rumah kami dulu adalah lelaki, persekitaran yang membentuk keluarga kami hari ini adalah berlandaskan cara lelaki. Setiap tindakan adalah cara lelaki, setiap keputusan adalah cara lelaki, setiap permasalahan diselesaikan cara lelaki. Kami tidak menggunakan emosi untuk mendapatkan keputusan, kami tidak menggunakan airmata untuk meraih simpati dan kami tidak terlalu mengikut perasaan untuk memuaskan hati masing-masing. Itulah sebab ada ketikanya kami kurang bercakap jika tidak perlu bercakap. Tidak ketawa jika tidak perlu ketawa. Tidak menangis jika tidak perlu menangis. Inilah cara kami sekeluarga menghormati antara satu sama lain. Cara inilah yang menjadikan kami akrab dan saling bergantungan antara satu sama lain. Yang penting, berpadanan dengan peribahasa melayu kita, takkan putus air dicincang.

Diketika ini aku berhadapan dengan permasalahan dari sebuah keluarga yang terbentuk dengan berlandaskan cara perempuan. Persekitaran dimana, adik beradik perempuan secara majoriti mendahului adik-adik lelaki. Bilamana, emosi dijadikan senjata untuk mengugat kesejahteraan, airmata untuk meraih belas kasihan dan mengikut perasaan untuk mendapat tempat dan kedudukan. Walaupun kelihatan persekitaran yang terbentuk ini bahagia dengan hilai ketawa, senda gurauan, lawak jenaka, kata-kata yang menghiburkan, ada ketika salah waktunya, kadang-kadang terbit juga kata-kata yang akan mengguris jiwa, menanam duka dan mengundang kebencian dalam keadaan luar kawalan. Hal ini berlaku kerana hakikat serta sifat keperempuanan itu sendiri yang menginginkan sesuatu yang cantik, wangi, bersih, mahal, yang terkini, berjenama, pendek kata terlalu menginginkan kesempurnaan.

Aku, sebagai bakal menjadi ahli keluarga ini, berusaha sedaya upaya untuk menjadi sebahagian dari mereka (macam ikrar rukunegara pula). Sebab aku tidak berapa faham dan kenal dengan sifat perempuan. Walaupun ada ketikanya aku tidak selesa, semampu yang boleh, kusembunyikan wajahku dengan wajah yang ceria, atau setidak-tidaknya senyum kambing. Aku cuba untuk tidak menyakiti hati sesiapa lagi. Bukanlah niatku untuk menyarung topeng atau bermuka-muka, tetapi persekitaran keluarga aku yang membentuk aku jadi begini. Dengan lebih tepat, bertindak dengan lebih rasional, profesional dan mudah mengalah. Pada aku (baca:kami) apalah sangat, lebih kurang sudahlah. Jadikanlah ianya mudah.

Memang inilah jodoh aku. Insyaallah. Sudah ditentukan tuhan. Aku teringat kata Doktor Fadzillah Kamsah, pasangan yang baik adalah yang ada banyak perbezaan,
Aku: membesar dengan cara lelaki.
Dia: dengan cara perempuan.
Aku: kerja aku nak mudah, cepat dan senang.
Dia: teliti, rumit dan banyak kerenah.
Aku: tak banyak cakap.
Dia: suka bercakap (aku sukakan itu).

Kita bukan nak cari pasangan yang banyak persamaan. Hobi nak sama, minat nak sama, pakaian nak sama, persekitaran nak sama, kalau tidak, ianya tidaklah akan lengkap-melengkapkan. Kan ayang kan? kan?