Thursday, November 29, 2007

Penghujung Benua Tanah Besar Asia



Lama sudah tidak masuk hutan, apatah lagi hutan paya bakau. Inilah yang kali pertama. Macam-macam yang saya bayangkan. Saya mempunyai ‘ekspektasi’ yang tinggi untuk melihat keajaiban dan keindahan alam di hutan paya bakau. Di tangan sentiasa tersisip kamera auto digital dengan harapan dapat mengambil ‘shot’ yang menarik, pelik dan unik.

Namun harapan saya meleset. Jauh dari apa yang dibayangkan. Taman Negara Tanjung Piai tidak seunik namanya. Dengan label sebagai Penghujung benua selatan tanah besar Asia, tidak segah yang digembar-gemburkan. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa kehidupan.

Bukan salah nama Tanjung Piai, atau Tanjung Piai itu sendiri. Yang berdosa itu, adalah kita sendiri. Hutan bakau ini, hampir hilang nyawanya. Satu ketika dahulu, kepelbagaian biologi dapat di lihat dan hidup di hutan paya bakau ini. Hari ini, hidupan flora dan fauna ini hanya dapat dilihat dari foto-foto yang dipamerkan di hadapan pintu masuknya. Yang masih hidup, sedang bertarung nyawa.

Apatah lagi, berbelas-belas spesis bakau yang pernah hidup sebelum ini. Yang tinggal hari ini, hanya lima atau enam spesis sahaja. Belum lagi tumbuh- tumbuhan lain. Sebagaimana yang dikhabarkan oleh petugas Taman Negara, satu ketika dahulu, laut tidak dapat dilihat dari pelantar pejalan kaki yang dibina kerana halangan dari pokok bakau, hari ini penglihatannya berbeza. Laut hanya beberapa meter dari pelantar pejalan kaki!

Spesis belacak dikatakan banyak kelihatan di paya bakau, oleh kerana hari ini bilangan ‘mereka’ sedikit, ‘mereka’ menjadi terlalu malu untuk difotokan wajah ‘mereka’. Saya gagal merakam sebarang foto ikan belacak kerana hanya dua kali terserempak dan tidak sempat memetik picu kamera.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh petugas Taman Negara, spesis burung botak yang merupakan burung yang sering berhijrah, telah memilih untuk menetap terus di Tanjung Piai tetapi malang juga bagi saya kerana tidak bertemu sebarang spesis burung pun. Barangkali juga ‘mereka’ telah bertemu rumah baru.

Tanjung Piai hari ini hanya di isi dengan sampah sarap dan sisa bahan buangan. Jika apek yang sering meronda dengan basikalnya di taman perumahan saya yang mencari tin-tin aluminium, botol-botol kosong atau suratkhabar lama itu datang ke sini, pastinya dia akan kaya raya dengan menjual hasil sampah yang dijumpai di sini.

Hutan Paya Bakau Tanjung Piai, walaupun jasanya menampung kitaran hidup kepelbagaian biologi isinya semakin terhakis, namun masih mahu berjasa sebagai pemerangkap sampah sarap agar laut bersih dari apungan sampah buangan manusia.

:(

nizam r@gitartong

kem kesedaran alam sekitar
tanjung piai, pontian 26-28 Nov 07
*Tidak berkeupayaan untuk memuatnaik seberapa banyak gambar kerana saya pengguna 'dial up'. lambat sangat.

*Tulisan ini adalah sedikit tanggungjawab sosial untuk alam sekitar. Sayangilah alam sekitar seperti menyayangi anak-anak anda.

Sunday, November 18, 2007

Alam Dan Manusia

Malam itu, Cikgu Saiful mengajar sains. Seperkara yang menarik tentang beliau bagi saya ketika itu, beliau tahu banyak perkara dan mahir dalam banyak hal. Semua subjek teras kami tuisyen dengan beliau.

Topik kami malam itu, stalaktit dan stalakmit. Stalaktit terjadi kerana titisan air yang menitis dari atas ke bawah. Kata beliau lagi, satu cara yang paling mudah untuk membezakan antara stalaktit dan stalakmit ialah stalaktit 'turun' ke bawah macam 'taik'(tahi) (stalaktaik)Stalakmit itu dari bawah ke atas.

"Mudah", kata beliau

Ternyata formula itu berkesan sehingga sekarang. Saya terjumpa Stalaktit di tandas sekolah saya. sungguh!


Friday, November 09, 2007

Unikkah?

Soalan kuiz bulan ini:

Berapa ekor anjingkah yang dapat menaiki sebuah motorsikal kapcai?

A. Mustahil. tidak ada anjing yang boleh menaiki motorsikal
B. Satu
C. Dua
D. Tiga


Ya! jawapan yang betul ialah D!

*Gelang Patah, Johor. 3 November 07. 3.30 petang.



Tuesday, October 02, 2007

Puasa

Bulan puasa, murid-murid (mungkin cikgu juga) selalu ambil kesempatan untuk kerap ke tandas. Tidak pasti apa kemunasabahannya. Mungkin segelintir dari mereka merasa lebih selesa jika kerap menggunakan air. Untuk membersihkan muka contohnya. Untuk mereka yang benar-benar berpuasa, mungkin tidak perlu ke tandas untuk membuang air kerana mereka tidak ada air untuk dibuang.

Sesekali saya beri peringatan juga kepada murid, jangan meneguk air dari paip air di tandas (mencuri-curi, minum) selain perbuatan itu berdosa, ia juga memudaratkan. Mungkin tidak ada murid yang berkelakuan sebegitu, setidak-tidaknya sebagai peringatan kepada mereka. Kerana saya pernah mencubanya (dahulu). Jadi, tanggungjawab saya mengingatkan.

Kadang-kadang saya turut menegur perbuatan mereka yang gemar membasah dan melembapkan keseluruhan kepala yang menjadikan baju dan badan hampir basah keseluruhannya. Mungkin mereka selesa dalam keadaan sebegitu. Lega sangat barangkali. Tetapi tidak pernah tahu kesan ke atas kulit mereka.

Selain itu, perbuatan dapat meninggalkan kelas juga satu peluang untuk mencuri tulang. Sedikit sebanyak mengisi waktu berpuasa mereka. Perjalanan dari kelas ke tandas mengambil masa lebih 10 minit bagi yang benar-benar perlu ke tandas. Bagi yang tidak perlu, sekurang-kurang 20 minit diperlukan. Saya juga bosan kadang-kadang mendengar celoteh cikgu-cikgu yang bukan-bukan dalam bulan puasa ini. Lebih baik berjalan ke tandas. Cuci mata.



Soalan kuiz bulan ini.

Yang mana satu betul?

1. “Cikgu izinkan saya pergi basuh muka cikgu!”
2. “Cikgu, izinkan saya pergi, basuh muka cikgu!”
3. “Cikgu izinkan saya pergi basuh muka, cikgu.”
4. “Cikgu, izinkan saya pergi basuh muka. Cikgu.”

Saya jawab, “ Tidak mengapa, muka cikgu sudah bersih.”

Thursday, September 27, 2007

Kemeja


Fuh! baju kemeja yang sudah tidak muat 2 bulan yang lalu, hari ini saya dapat menyarungnya semula. Sila ucap tahniah! haha!


gambar sekadar hiasan

Tuesday, September 04, 2007

Bersedia anda?

Perang dah bermula.. rakan-rakan harus berhati-hati dan bersedia.
.
.
.
.
.
.

PERANG KUIH RAYA sudah bermula


Tak percaya? pergilah kat bilik guru..

gambar ihsan mizkidz