Saya syak,
Tok Rimau akan berhari raya di rumah baru berdasarkan kepada entri yang terbaru ditulisnya. Saya cuma syak sahaja, oleh kerana sebab itulah agaknya beliau mempelawa saya dan isteri untuk berkunjung ke rumahnya pada hari raya nanti.
Hari raya ini mungkin menjadi hari raya yang amat bermakna bagi beliau kerana persekitarannya mungkin amat berbeza berbanding hari raya sebelumnya. Menjadi fitrah manusia, perkara ‘baru’ itu adalah menggembirakan dan akan menjadi kenangan pada diri kita.
Rumah ‘baru’ mertua di Telok Kerang, Pontian, siap sepenuhnya lanjutan dari majlis perkahwinan kami pada April lalu. Rumah ‘baru’ ini perlu pengisian. Pengisian batin dan zahirnya. Agar isinya nanti tidak kosong dan tidak memberi makna apa-apa, maka, apa yang terlarat, kami mengambil inisiatif untuk mendekorasi.
Kadangkala terfikir jua, mengapa hari raya perlu diisi dengan benda baru? Setiap kali hari raya, kita berhabisan ratusan malah ribuan ringgit untuk berbelanja. Dinding tidak sekotor mana, tetapi kita membeli cat baru. Langsir tidak seburuk mana, kita tempah langsir baru. Perabot tidak sehodoh mana, kita ganti perabot baru. Hinggakan konsep hari raya ini telah di ‘set’ ke dalam kotak fikir bahawasanya, hari raya itu, mesti ‘baru’.
Saya ‘baru’ kali pertama berhari raya dengan isteri ‘baru’ (baru?). Seperti tok rimau, saya juga ghairah. Tahun ini juga pertama kali saya berhari raya di rumah ‘baru’ mertua yang dindingnya bercat ‘baru’, perabotnya ‘baru’, langsirnya ‘baru’ dan beberapa perhiasan dinding yang ‘baru’. Ini adalah pengalaman ‘baru’ saya yang mungkin menjadi kenangan ‘baru’ juga.
Istilah ‘baru’ di sini sebenarnya adalah tuntutan. Kami bukan sewenang-wenang untuk membuat pembaziran kerana untuk menyambut hari raya semata-mata, tetapi keadaan zahir rumah ‘baru’ mertua saya yang memerlukan tuntutan ‘baru’. Berbanding keadaan sebelumnya, sudahlah perabot lama memang tak banyak, ada pula yang rosak. Maklumlah rumah kampung. Mana yang termampu, kami ganti, baiki dan beli.
Ya. Setiap hari yang kita lalui adalah hari ‘baru’. Oleh itu terserah kepada kita untuk bijak menjadikan hari ‘baru’ itu lebih bermakna, bermanfaat, menjadi kenangan dan sejarahnya sendiri. Hari raya ini mungkin tidak seperti hari raya-hari raya sebelumnya kerana; hari raya ini ialah hari raya yang ‘baru’!
Sempena hari raya yang ‘baru’ ini. Saya ucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua pengunjung blog ini. Terima kasih kerana mengunjung sesuailah dengan konsep raya. Maaf, tiada kuih raya. Haha!
Jemputlah datang ke 8A, Kg Timur Laut, Telok Kerang, 82020, Pontian, Johor DT untuk melihat sofa ‘baru’ saya. Haha!
*Kepada Fatin, pembantu prasekolah orang rumah saya yang rajin jengok blog ini, jemputlah datang rumah ye.