Bagi memenuhi tuntutan sosial, tidak mampu saya menolak undangan ke majlis tahlil arwah di Telok Kerang, Pontian. Lebih-lebih lagi yang mempelawanya ialah bapa mertua. Saya tidak mahu menjadi penderhaka. Lagipun memang saya kelapangan. Apalah salahnya kita bermasyarakat. Dapat juga berkenal-kenalan dengan penduduk kampung.
Tahlilnya sama. Kebanyakkan aturcaranya sama. Seperti juga majlis tahlil di mana-mana tempat yang pernah saya hadiri. Cuma yang berbeza ialah setibanya waktu makan. Ya, saya tahu. Waktu makan memang semua orang suka. Anak-anak tuan rumah atau saudara mara akan bergerak di hadapan tetamu sambil menghulurkan air tadahan basuhan tangan.
Tetamu hanya perlu menghulurkan tangan dan anak-anak tuan rumah akan menjiruskan airnya. Kita tidak perlu bersusah payah membasuh tangan sendiri. Ada orang yang basuhkan. Nasib baik tangan tidak boleh dicabut-cabut. Kalau tidak, lebih mudah kerja anak-anak tuan rumah. Sementara itu, dulang hidangan "NASI AMBENG" sedang disusun atur dihadapan tetamu.
Kecur air mliur melihat nasi ambeng dalam dulang. Ayam masak kicap, sambal sayur, mee atau meehoon goreng dan pelbagai aksesori tambahan. Saya yang pertama kali nampak nasi ambeng yang betul-betul nasi ambeng, nafsu saya sudah membuak-buak. Perut tiba-tiba jadi lapar.
Lauk pauk atas empat daun pisang. Daun pisang atas nasi putih. Menandakan satu dulang untuk empat orang makan. Wow! banyaknya nasi dan lauk untuk empat orang. "Puas ni!" getus saya dalam hati. Dalam satu dulang kecil, bekas minuman dan gelas untuk tetamu minum. Dalam beberapa piring kecil terisi, dua tiga jenis kuih dan buah-buahan.
Saya perhatikan kiri kanan. Bila tetamu hendak mulakan. Bila tuan rumah mempelawa saja, tunggu! baca doa makan dulu. Selesai. Amin. Tanpa berlengah-lengah lagi, saya pun memulakannya. Lauk pauk dalam daun pisang saya sudah lambak atas nasi. Saya makan bersungguh-sungguh. Sambil tersenyum dan berbual dengan rakan sedulang (pakcik-pakcik). Hampir keseluruhan jari telah saya gunakan untuk makan. Terdetik hati apabila melihat rakan-rakan sedulang dan orang lain hanya menjamah sedikit (mencuit-cuit sedikit) sahaja. Hujung jari sahaja.
"Kenapa ni? Jari pun tak kotor" Saya bertanya dalam hati. "Sila-sila makan" Saya mempelawa. Barangkali malu agaknya. Saya mula memperlahankan rentak saya. Saya sudah rasa lain macam. Dalam hati tertanya-tanya, "mengapa orang lain tak makan?" Rakan di dulang sebelah, tiba-tiba mengeluarkan plastik pembungkus makanan. Mereka membahagi-bahagikan makanan kepada empat bahagian. Ya! Mereka bungkus makanan mereka!
Mana datang plastik? Oh! terselit di celah-celah cawan minuman di dalam dulang. "Cis!" getus saya. Mengapa saya tidak perasan. Patutlah orang lain tak makan. Memang disediakan plastik pembungkus untuk tetamu bawa balik. Mujurlah, dalam cerita ini saya heronya. Jadi hero tidak kalah. Saya berjaya mengatasi masalah itu tanpa perlu malu dengan perbuatan saya. Bak kata bapa mertua, sudah tuan rumah beri makan, makan sajalah! Orang kita saja pandai-pandai bungkus nak bawa balik pula. "Tak patut, tak patut.." kata saya.