Tuesday, October 02, 2007

Puasa

Bulan puasa, murid-murid (mungkin cikgu juga) selalu ambil kesempatan untuk kerap ke tandas. Tidak pasti apa kemunasabahannya. Mungkin segelintir dari mereka merasa lebih selesa jika kerap menggunakan air. Untuk membersihkan muka contohnya. Untuk mereka yang benar-benar berpuasa, mungkin tidak perlu ke tandas untuk membuang air kerana mereka tidak ada air untuk dibuang.

Sesekali saya beri peringatan juga kepada murid, jangan meneguk air dari paip air di tandas (mencuri-curi, minum) selain perbuatan itu berdosa, ia juga memudaratkan. Mungkin tidak ada murid yang berkelakuan sebegitu, setidak-tidaknya sebagai peringatan kepada mereka. Kerana saya pernah mencubanya (dahulu). Jadi, tanggungjawab saya mengingatkan.

Kadang-kadang saya turut menegur perbuatan mereka yang gemar membasah dan melembapkan keseluruhan kepala yang menjadikan baju dan badan hampir basah keseluruhannya. Mungkin mereka selesa dalam keadaan sebegitu. Lega sangat barangkali. Tetapi tidak pernah tahu kesan ke atas kulit mereka.

Selain itu, perbuatan dapat meninggalkan kelas juga satu peluang untuk mencuri tulang. Sedikit sebanyak mengisi waktu berpuasa mereka. Perjalanan dari kelas ke tandas mengambil masa lebih 10 minit bagi yang benar-benar perlu ke tandas. Bagi yang tidak perlu, sekurang-kurang 20 minit diperlukan. Saya juga bosan kadang-kadang mendengar celoteh cikgu-cikgu yang bukan-bukan dalam bulan puasa ini. Lebih baik berjalan ke tandas. Cuci mata.



Soalan kuiz bulan ini.

Yang mana satu betul?

1. “Cikgu izinkan saya pergi basuh muka cikgu!”
2. “Cikgu, izinkan saya pergi, basuh muka cikgu!”
3. “Cikgu izinkan saya pergi basuh muka, cikgu.”
4. “Cikgu, izinkan saya pergi basuh muka. Cikgu.”

Saya jawab, “ Tidak mengapa, muka cikgu sudah bersih.”