Thursday, September 28, 2006

Esoknya puasa


Gambar sekadar hiasan. Saya meng'google' Ekspres Mayang Sari untuk cari gambarnya, tak jumpa pula.


Perjalanan dari Pontian ke Kuala Lumpur dengan pengangkutan awam memang memenatkan dan panjang berbanding memulakan perjalanan dari Stesen Bas Larkin. Secepat-cepat tiba pun mesti lebih dari lima jam.

Dengan harga tiket Ekspress Mayang Sari (Pontian) kurang lima ringgit dari harga tiket di Stesen Larkin, adalah lebih menjimatkan dan kebiasaannya bas hanya akan keluar ke lebuhraya di Tangkak. Bagi menyahut seruan kerajaan, saya memilih menaiki kenderaan awam berbanding menggunakan BMW atau Mercedes Benz mewah milik saya

Hati teruja kerana 1 Ramadhan ini, dapat disambut bersama keluarga di Kuala Lumpur. Ibu di rumah pastinya tersenyum riang tatkala saya mengkhabar rindu melalui telefon yang saya akan pulang untuk menyambut 1 Ramadhan yang juga menjadi cuti umum di Johor.

Mereka yang bertugas pada 1 Ramadhan di negeri-negeri lain, pastinya merasa cemburu kerana pada hari kedua berpuasa, (cuti ditunda ke hari isnin kerana ahad memang hari bercuti) mereka terpaksa bekerja. Tahniah dari saya.

10.15 pagi bas bertolak mengikut jadualnya. Mungkin ini bas yang terakhir yang saya dan isteri naiki dalam tempoh isteri yang semakin hari semakin sarat hamil.

Selepas ini, mungkin kami tidak boleh menaiki bas lagi memandangkan fizikalnya yang semakin memboyot. Kalau terberanak dalam bas nanti, tak pasal-pasal pula saya yang jadi bidannya. Lagipun, apalah gunanya kereta mewah jika tidak dipandu di lebuhraya. Ha ha!

Bas akhirnya tiba di persimpangan Jalan Hang Tuah-DBP melalui Jalan Loke Yew. Jam di telefon bimbit menunjukkan 1623. Hujan di petang sabtu itu amat lebat. Angin menderu kencang. Jalan Hang Tuah sesak.



Pesta lampu-lampu brek seakan menarik dalam kabut hujan. Radio dari dalam bas memberitakan Jalan Tun Sambathan berhampiran Balai Polisnya telah dinaiki air. Perjalanan yang semakin pendek, terganggu dengan kesesakan ini.

Saya sudah mula rimas. Apatah lagi orang lain. Sudahlah melalui perjalanan yang panjang, terperangkap pula dalam kesesakan ini. Datang ilham saya, tak perlu teruskan perjalanan yang menyeksakan ini ke Puduraya.

Saya mengambil keputusan untuk turun di Stesen Monorel Hang Tuah supaya dapat menaiki LRT di Stesen Hang Tuah untuk ke Stesen Bandar Tun Razak.

Hujan masih lebat. Jarak ke Stesen Monorel, lebih dari 15 meter. Jalan masih sesak. Bergerak perlahan. Saya ke hadapan bas. Isteri menyusul kemudian. Belakang isteri saya ada seorang lagi lelaki.

“Bang, turunkan kami di Stesen Monorel di depan tu.” Sambil tersenyum kepada pemandu yang lebih muda atau sebaya saya agaknya. Tapi dia tidak pandang pun senyuman saya.

Pemandu terus membuka pintu. Barangkali dia suruh turun ketika itu. Memang hanya beberapa langkah yang pantas atau berlari-lari anak, pastinya akan sampai. Tetapi bagi seorang lelaki yang gagah dan kacak seperti saya, tidak bagi seorang wanita yang hamil.

Terutamanya ketika hujan lebat sebegini. Saya tidak turun. Masih berdiri di atas tangga dan berharap pemandu berhenti di tempat yang lebih teduh.

Bas dapat bergerak. Terus melepasi tempat yang berteduh tanpa memberhentikannya. Pemandu terus menutup pintu bas.

Dalam hatinya mungkin berkata, “Aku sudah buka pintu tadi, tak nak turun pulak. Tak nampak jalan jammed ni?”

Darah saya terus mendidih tidak semena-mena. Berasap dan berapi-api.



“Takkan engkau nak suruh aku redah dalam hujan yang lebat tadi tu?? Hah?” Saya sudah hilang waras. Suara terus meninggi. Sudah tidak peduli orang lain.

“Kenapa engkau zalim sangat tak nak turunkan kat tempat yang teduh sikit. Bodohlah engkau!” Maki saya. Penumpang-penumpang lain terkebil-kebil. Isteri mencuit lengan. “Sudahlah.” Katanya.

Yang menambah kegeraman saya ialah melihat muka pemandu itu yang seperti orang yang tak faham apa-apa. Muka bodoh saja. Saya sudah mengepal tangan. Mengigil-gigil.

Sumpah seranah apa yang saya tidak keluarkan. Bodoh, Sial, Celaka, semua saya sebut. Tapi tidak pula dia menjawab sesuatu. Jika tidak memang terlepas juga genggaman saya kemukanya.

“Sial punya manusia. Aku rasa aku nak tumbuk aje muka kau” Sebutan saya jelas dan keras. Tetapi pemandu itu boleh tahan dengan makian itu. Muka dia selamba tanpa ada perasaan langsung. Tidak tahulah manusia jenis apa ini.

“Sudahlah bang. Jomlah duduk balik” Sang isteri memujuk. Saya masih mengetap bibir.

Setelah bas dapat melepasi lampu isyarat di Penjara Pudu itu, terus menghala ke Puduraya. Saya masih di tangga. Tak puas hati. Ketika bas hampir menghampiri Hotel Swish Garden, pemandu tiba-tiba memberhentikan bas. Deruan enjin berbunyi pelik.

Dengan segera pemandu membuka bahagian enjin bas untuk melihat punca kerosakan. Saya memberi isyarat kepada isteri yang sudah duduk semula tadi untuk turun.

“Bas ini akan sampai ke Puduraya lagi dua jam. Rosak pulak” kata saya pada isteri. Kata-kata itu sebenarnya ditujukan kepada pemandunya.

Kami turun dan melintas jalan. Hujan masih renyai. Jalan ke Puduraya masih berpesta lampu brek. Jalannya basah. Air mengalir deras ke saluran.

Seorang lelaki berbeg besar bersama seorang isteri sarat mengandung melambai-lambai ke arah teksi yang menghala ke arah mereka. Bas Ekspres Mayang Sari yang berwarna merah masih terkejung di bahu jalan dengan lampu isyarat kedua-dua belahnya berkelip-kelip.

“Padan muka. Kau berdosa dengan aku dan bini aku.” Dalam hati saya.
*beli album demo klik

Tuesday, September 26, 2006

Ramadhan 1427H

Jangan tersedak-sedak ketika mandi di bilik air dan..
Jangan sampai di angkut van jenazah!

Selamat berpuasa kepada semua pengunjung.


http://www.islam.gov.my/portal/puasa.php

Thursday, September 21, 2006

Derhakakah?

Rasa berdosa teramat sangat saya apabila, sebagai seorang anak tidak menyedari hari ini genap sudah lapan tahun bapanya meninggalkan dunia. Astaghfirullah!

Sehinggalah adik yang prihatin menulis di kotak chatbox saya. Terima kasih linggopoh.

Alfatihah buat arwah abah. Ampunkan dosa anakmu ini. Semoga rohmu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Pss.. CD untuk bluecherry dan Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar (E-sastera) telah di pos. Sila tunggu posmen di depan rumah anda..

Wednesday, September 13, 2006

Kacakkah?

Saya berceloteh panjang lebar bercerita tentang album demo saya kepada seorang gadis awal 20an yang bakal menjadi mangsa kepada pembeli album demo ini semasa pelancarannya di Pertandingan Lagu Puisi Berkumpulan Negeri Johor anjuran DBP Wilayah Selatan baru-baru ini.

Saya tabur pelbagai kata-kata manis dan racun bisa agar beliau tertarik dengan lagu-lagu sajak saya. Tidak cukup dengan itu, saya mainkan pada CD player pula lagu-lagunya, sambil bercerita pula tentang proses menggubah muziknya. Yang menjadikan saya bersungguh mempromosikannya, adalah kerana rasa minat yang ditunjukkan.

Gadis ini lebih banyak mengangguk dan meng'mmm' sahaja. cuma sesekali terkeluar beberapa patah kata.

Terpacul satu soalan yang membuatkan saya rasa kecewa dan bersedih hati,


"Kenapa dalam cover album ini takde gambar abang?"


*ceh!


Namun untuk tidak mengaku kalah,

"Abang terlalu kacak untuk diletakkan gambarnya dalam album ini. Bukan tarafnya!"


*apalah budak ini.. (dalam hati)

*Tamat*


Pss.. gitartong mungkin akan mengiklan album pada Pertandingan Nyanyian Solo Guru-Guru Negeri Johor (PSKPP) di Muar pada sabtu bersamaan 16 Sept 2006 dan di Majlis Penyampaian Hadiah Penulisan Wilayah Selatan di Hotel Seri Malaysia, JB pada ahad bersamaan 17 Sept 2006. Insyaallah. Jemputlah datang. Beli album. Ajak adik-beradik anda semua. Pakat beli ramai-ramai. Haha!

Beli album klik sini. CD album untuk Kingbinjai telah di pos dan dalam perjalanan. Terima kasih kerana menyokong.

Thursday, September 07, 2006

Finale

(cover album oleh sinaganaga.blogspot.com)
Artis: gitartong.blogspot.com
Tajuk: Balada minah memulas mesin masa

Lagu-lagu:
1. Balada minah memulas mesin masa
2. Menambat rakit
3. Bumi Sendiri
4. Membenarkan kebodohan
5. Tragedi satu pagi (unplugged)
6. FARAQSTIKA
7. Dibawah langit tanpa hujung (live)
8. Mahligai duka (live)
9. Inu
10. Tragedi satu pagi

Akhirnya! setelah hampir berputus nyawa, album demo ini dapat jua di siapkan. Akan saya ceritakan kelak derita ketika proses menerbitkannya. Untuk entri ini biar saya cerita proses membelinya kepada yang berminat. Haha!

Harga online: RM 10.00+ RM5.00 (sampul pos ekspress)
Harga beli tangan: RM 10.00

Apa yang istimewa kepada pembeli online??

Ya, ada hadiah istimewa kepada pembeli-pembeli online. Mereka bukan sahaja mendapat CD album gitartong, malah menerima sebuah kaset RealXPDC live secara percuma!

Langkah satu: Simpan nombor akaun maybank saya ini: 151306667720. Masukkan jumlah wang yang sepatutnya sebagai pembeli online.

Langkah kedua: Hubungi saya dan maklumkan yang anda telah memasukkan sejumlah wang kedalam akaun saya dengan cara meng'email' atau sms:0197885624 (panggilan profesional sahaja akan dilayan)

Langkah ketiga: Tunggu posmen di depan rumah anda setiap hari (saya akan memaklumkan kepada anda jika CD anda telah di pos)

Mudahnya!


Undangan ke:

PERTANDINGAN LAGU PUISI BERKUMPULAN NEGERI JOHOR 2006

pada :
10 September 2006 (Ahad)

masa :
2.30 petang - 5.00 petang

tempat :
Auditorium JOTIC, Bangunan JOTIC,
Jalan Ayer Molek, Johor Bahru.


Gitartong (saya) buat review album di situ. Jangan lupa datanglah beramai-ramai untuk memeriahkan suasana dan membeli album saya. Haha!
*CD percuma kepada penulis-penulis puisi album gitartong. Minta kerjasama untuk mengemail alamat tuan-tuan kepada saya.