Saturday, May 27, 2006

Lagu baru!



MEMBENARKAN KEBODOHAN

SIAPA AGAKNYA YANG
MEMBENARKAN KEBODOHAN
TIDUR TERLENTANG
DALAM KEHIDUPAN

MENJERIT-JERIT
TENTANG KEMATIAN
PEKIK LOLONGNYA
KOSONG

SIAPA AGAKNYA YANG
MEMBERI IZIN
KEPADA KEBODOHAN
DATANG KERUMAH KAMI
SEMADIKAN DIRI DI JIWA KAMI

BICARANYA BOHONG
JANJINYA BOHONG
SEMANGATNYA BOHONG
JUANGNYA BOHONG

SIAPA AGAKNYA YANG
MELETAKKAN KEBODOHAN
DITEMPAT YANG AMAT TINGGI

TENTU SAJA SIAPA ITU
ADALAH KAMI YANG
BERJALAN BERKAKI AYAM
KERANA SEPATU KAMI
TERTINGGAL DI RUMAH BAPAK MENTERI


LIRIK: ABDULLAH JONES
LAGU: NIZAM RUSLI


Kenapa? mengapa? kita masih membiarkan kebodohan itu? sebuah lirik yang baik daripada Abdullah Jones.

pss.. kononnya nak simpan dulu lagu ni. tapi jones dah letak dalam blog dia, saya pun letaklah. Babai.. tata.. titi..tutu.. Selamat bercuti pada cikgu-cikgu sahaja!

Friday, May 26, 2006

Yey!!

Cuti datang lagi!!

Yey!
Yey!

(lompat-lompat)

Mak!
Tunggu saya pulang!

(guling-guling)

Bestnya!



PS: Maaf, entry ini ditulis dengan penuh emosi.. saya mungkin merajuk untuk jangka waktu yang lama. Saya akan berada di Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu. Kalau saya rajin, akan menjengok kawan-kawan di Siber Kafe. Siapa yang saya nak jumpa di KL ye.. errmm..

Thursday, May 25, 2006

Gian

Dulu, saya ada tempat untuk melepaskan karya-karya saya. Rumah PENA dalam tahun 1997-2000. Selepas peristiwa besar September 1998, malam baca puisi Rumah PENA kurang meriah berbanding sebelum-sebelumnya. Saya masih juga dijemput untuk bersenandung jika terserempak Sutung Umar jika sesekali menjengah.

DBP Wilayah Selatan


Di Johor Bahru, saya ada tapak baru. Semenjak 2002, DBP Wilayah Selatan sering mengundang untuk saya melepaskan 'gian' saya. Beribu juga rasanya, DBPWS melabur pada saya (dan kawan-kawan). Semenjak Dato' Dr. Firdaus bin Hj. Abdullah memegang Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2005, sudah jarang grup-grup pemuisi seperti kami diundang untuk bersenandung lagi. Saya tidak mahu terus serkap jarang, mungkin belum ada peluang lagi.

Dimanakah lagi tempat untuk aku melepaskan ketagihanku???

Semenjak berkeluarga, memekak di tepi-tepi jalan terpaksa saya pinggirkan (kurangkan dan belum berniat berhenti). Atas rasa hormat pada keluarga baru saya. Batin sedikit terseksa juga kerana menahannya. Hari guru baru-baru ini, seolah-olah seperti seorang suami gersang yang meninggalkan isteri bertahun-tahun lagaknya. Sebuah konsert mini unplugged oleh guru-guru, benar-benar membuatkan saya puas.

Dan, bersyukur juga kerana saya mempunyai blog sendiri. Semenjak sudah pandai mengupload lagu, disinilah pula tempat saya melalak. Diharapkan anda tidak muak dengan saya. Ini tanah saya!

pss.. terima kasih kepada www.isnaini.com atas template yang menarik ini dan En. Pegawai Khalwat yang mempromosikannya.

Monday, May 22, 2006

Tragedi Satu Pagi



PADA SATU PAGI
BANGUN TIDUR TERUS AKU MANDI
SEJUK-SEJUK BEGINI
MATA MENGANTUK LAGI
DAH NASIB SEKOLAH PAGI

LEPAS AKU BERSIAP
SARAPAN EMAK PUN DAH LENGKAP
CEPAT-CEPAT AKU HIRUP
MANA YANG SEMPAT AKU SUAP

PAGI MASIH GELAP LAGI
LAJU-LAJU KU HAYUN LANGKAH KAKI
KAWAN-KAWAN AKU PUN TAK SAMPAI LAGI
AKU SORANG-SORANG DAH TERPACAK DISINI

RASANYA DAH LAMA AKU TUNGGU DISINI
MANA PULA BAS SEKOLAH
AKU TAK SAMPAI-SAMPAI LAGI
BARANGKALI BAS AKU ROSAK LAGI
KAKI DAH LENGUH BERDIRI DI SINI

LALU SEORANG TUA
BERBASIKAL TUA
LANTAS AKU PUN TERUS BERTANYA

“Pakcik-pakcik, jam sekarang pukul berapa?”

“Hah! Baru pukul lima pagi?”

BARU PUKUL LIMA PAGI

ALA.. EMAK JAM EMAK DAH SALAH KUNCI
AKU PUN BALIK SAMBUNG TIDUR LAGI

TRAGEDI SATU PAGI
TRAGEDI SATU PAGI
TRAGEDI SATU PAGI


Hahaha! Pernah terjadi pada anda? Kalau pernah, TAHNIAH!



PS: kepada Ron97 saya belum ada video klipnya, hang buatkanlah! Tapi tak nak New Kids Out The Block punya!

Thursday, May 18, 2006

Jalan Johor-Pontian

Kawasan Tambak Pontian yang baru setahun lebih rasanya. Perempuan yang bercekak pinggang itu bukan penulis (pelakon tambahan)

Jarak diantara Taman Sri Pulai, Johor Bahru ke Telok Kerang, Pontian hampir melebihi 25 kilometer. Jika mengikut jarak masa, perjalanannya mengambil kira-kira 45 minit hingga ke sejam. Sepanjang jalan hanya ada:

1. satu ‘flyover’
2. tiada jalan-jalan yang berselirat dan
3. tiada lebuhraya.


Jalannya hanya jalan dua hala, pergi dan balik. Tidak memeningkan. Terus sahaja.

Semenjak memiliki isteri, hampir setiap hari saya akan menggunakan jalan ini untuk berulang-alik dari tempat bertugas ke rumah ibunda, ayahanda mertua. Tempat bertugas yang berlainan dan berjauhan membataskan kami untuk serumah lagi. Pastinya hal ini amat menderitakan.

Perkara yang menambah penderitaan ini lagi ialah perjalanan yang panjang dan memenatkan diantara Taman Sri Pulai ke Telok Kerang. Dengan keadaan jalan dua hala, ada tempat-tempat yang:

1. jalannya rosak
2. kenderaan yang berderet panjang
3. lori-lori besar
4. polis perangkap kelajuan dan
5. sekatan jalanraya

Hal ini ditambah lagi dengan:

1. kenaikan harga minyak
2. kos penyelenggaraan motosikal dan
3. membahayakan


Setiap kali dan hampir setiap hari, isteri selalu berpesan agar berhati-hati ketika menunggang itu. Ini kerana saya terpaksa menyabung nyawa setiap kali melalui jalan Johor-Pontian itu. Sudah beberapa kali saya melihat ada sahaja berlakunya kemalangan. Barangkali Tok Rimau lebih maklum akan hal ini.

Ada, pada satu pagi, selepas simpang Ulu Choh, jalan menjadi sesak. Panjang. Dari jauh saya melihat seketul bangkai yang panjang di atas jalanraya, tidak pasti bangkai binatang apa. Sehinggalah semakin dekat barulah saya dapat lihat dengan jelas iaitu sebelah kaki manusia. Rupa-rupanya ada orang mati dilanggar dan mayatnya bertaburan di atas jalanraya. Paling tidak dilupakan, ialah BAUNYA!

Namun oleh kerana mempunyai:

1. semangat juang yang tinggi dan
2. tidak mudah berputus asa,


maka, saya bersanggupan juga berulang-alik. Sedaya upaya saya berhati-hati dan cermat kerana saya memang takut menunggang motosikal adanya. Ada ketika, boleh laju aksi rempit, saya merempit. Jika tidak boleh, saya beratur sahaja belakang kenderaan yang berderet lagak keretapi itu.


Cikgu-cikgu SKTSP pernah bertanya,

“Kau sekarang berulang alik dari Pontian ke?”

“Tak juga kak, kadang-kadang je, ikut cuaca.”

“Hah! Ikut cuaca? kenapa? kalau hujan tak balik eh?”

“Ada pulak! Hari hujanlah kena balik, best.. sejuk..!”


Itulah yang meransang dan sumber kekuatan saya. Mengecas.

Tuesday, May 16, 2006

Wawancara Eksklusif Bersama Bos Saya!

Bersempena sambutan hari guru pada 16 Mei 2006 ini, saya berkesempatan menemubual seorang guru yang juga merangkap bos saya pada sesi petang ini. Beliau ialah Puan Rokiah Binti Basiron.

Selaku seorang Penyelia Petang, beliau amat berdedikasi dan berkaliber. Seorang yang disegani dan mudah bekerjasama. Beliau juga tegas dan juga amat penyayang. Beban beliau bukan sekadar di sekolah, malah juga sebagai seorang isteri kepada seorang suami dan ibu kepada anak-anaknya.

Temubual ini tidak menafikan kehebatan guru-guru yang seangkatannya tetapi diharapkan sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan atas pengalaman-pengalaman hidupnya. Apa yang baik, ambil! Dan saya menulis ini pun bukan hendak mengampu ye! Hahahaha!



Saya: Assalammualaikum puan, boleh puan ceritakan sejarah puan dalam dunia pendidikan ini. Posting pertama, hingga sekarang dan sejak bila puan memegang jawatan sebagai Penyelia Petang. Bilangan tahun yang tinggal dalam perkhidmatan puan sebelum bersara.

Puan Rokiah: Wa’alaikummussalam Cikgu Nizam, saya telah memulakan kerjaya saya di Sekolah Menengah Sultan Alauddin Bukit Besar, Kulai Johor pada tahun 1976 hingga tahun 1981. Pada masa itu saya telah mengajar mata pelajaran Sains Rumahtangga iaitu opsyen saya semasa di maktab.

Setelah bertugas di situ selama 6 tahun, saya telah memohon untuk bertukar sekolah, permohonan saya telah diterima dan saya telah ditempatkan di Sekolah Menengah Senai dari tahun1982 hingga tahun 1994 iaitu selama 13 tahun.

Pada akhir tahun 1994 saya telah memohon bertukar ke sekolah rendah, alhamdulilah permohonan saya telah diluluskan. Maka pada tahun 1995 saya telah ditempatkan ke Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai , saya juga adalah salah seorang guru yang terawal yang mengajar di sekolah ini.

Walaupun pada mulanya agak janggal juga berada di sekolah rendah, tapi lama kelamaan timbul pula rasa seronok melayan kerenah murid-murid di sekolah rendah ini. Saya telah dinaikkan pangkat pada tahun 2000. Walaupun berat hati untuk menerimanya, tapi apa boleh buat keadaan telah memaksa saya menerimanya.

Saya telah ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Polis Kem, Kelapa Sawit, Kulai ,Johor, mulai 18 September 2000 dan memegang jawatan sebagai Guru Penolong kanan Ko-kurikulum. Saya amat berterima kasih kepada semua guru di sekolah tersebut kerana telah memberikan kerjasama kepada saya selama saya bertugas di situ.

Untuk pengetahuan Cikgu Nizam ,Guru Besar kita iaitu En. Othman Bin Ahamad pernah bertugas di SK. Polis Kem dan menyandang jawatan sebagai Penyelia Petang. Beliau juga telah banyak membantu saya untuk menguruskan program yang melibatkan aktiviti Ko-kurikulum, memandangkan pengalaman luas beliau dalam bidang ini berbanding dengan saya yang bermula dengan 0.

Semasa saya berada di sekolah tersebut sempatlah juga saya mengendalikan Sukan Tahunan dan juga perkhemahan Badan-badan beruniform. Walaupun saya bertugas di sekolah tersebut tidak lama iaitu kira-kira 10 bulan sahaja, tetapi banyak pengalaman yang dapat saya perolehi.

Saya juga amat berterima kasih kepada pihak JPNJ dan PPD Kulai kerana telah memindahkan saya semula ke Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai dan memegang jawatan Penyelia Petang mulai 10 Jun 2001 hinggalah sekarang. Untuk pengetahuan Cikgu Nizam saya akan bersara pada 11 Januari 2011 sekiranya panjang umur dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah Subahanawata’ala.


Saya: Sedikit tentang latarbelakang keluarga. Yang perlu sahaja.

Puan Rokiah: Suami saya bernama Fathir Bin A.Kadir dan bekerja di sebuah Syarikat Swasta. Kami telah mendirikan rumahtangga selama lebih kurang tiga puluh tahun. Saya mempunyai 3 orang cahayamata iaitu 2 orang lelaki dan seorang perempuan. Dua orang anak saya telah berumahtangga dan kini saya telah mempunyai 3 orang cucu. Seorang lagi anak saya masih bersekolah iaitu di Tingkatan Satu.

Saya:Sebagai Penyelia Petang, bagaimana puan memulakan hari puan, pada hari persekolahan, maksud saya, seawal jam berapa puan tiba disekolah, apa perkara yang puan perlu siapkan terlebih dahulu dan perkara-perkara lain yang puan buat.

Puan Rokiah: Oleh sebab saya tidak suka keadaan yang tergopoh gapah maka saya lebih suka datang awal ke sekolah .Biasanya saya akan datang sebelum pukul 11.50 pagi dan ada kalanya kalau ada kerja yang perlu disiapkan seawal 10.30 pagi saya telah berada di kawasan sekolah.

Sebenarnya tugas Penyelia Petang ini merangkumi semua bidang iaitu dari segi Kurikulum, Ko-kurikulum, Menjaga Hal Ehwal dan disiplin murid , melayan ibu bapa yang hadir dan menjaga keselamatan murid-murid di sesi petang adalah menjadi tanggungjawab penyelia petang.

Perkara pertama yang perlu saya buat setelah saya sampai ke sekolah ialah menyiapkan Jadual Relif bagi guru-guru yang tidak dapat menjalankan tugas pada hari tersebut. Saya juga perlu memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran pada sesi petang berjalan dengan lancar.

Selain daripada itu saya juga perlu mengajar mengikut ketetapan masa yang diperuntukan kepada saya.Oleh sebab keadaan saya yang sibuk sepanjang hari, maka tidak dapat saya mengajar mata pelajaran yang penting.

Sebelum sesi persekolahan tamat pada hari itu, saya terpaksa melengkapkan Buku Rekod Kedatangan dengan menuliskan jumlah kedatangan murid dari setiap kelas pada buku tersebut. Sebelum pulang saya perlu memastikan keadaan sekolah selamat untuk ditinggalkan pada hari itu.

Saya: Saya suka melihat buku Rancangan Mengajar puan, sungguh cantik dan meriah dengan gambar- gambar yang dipotong dan dilekatkan. Saya sendiri malas nak buat itu semua dan rasanya tiada masa untuk membuat itu. Bilakah puan meluangkan masa untuk menghias buku Rancangan Mengajar sebegitu rupa?

Puan Rokiah: Sebenarnya saya suka kepada kedaan yang ceria. Kalau Cikgu Nizam nak tahu hobi saya ialah suka menghias. Saya siapkan Rancangan Mengajar saya itu di rumah. Saya ada banyak masa lapang di rumah, Cikgu Nizam pun tahukan, anak-anak saya sudah besar dan tidak ada banyak kerja yang boleh saya lakukan semasa di rumah.

Gambar-gambar yang saya tampal di buku rancangan itu pula saya ambil daripada buku anak-anak saya semasa mereka belajar dahulu. Daripada buku-buku tersebut dibuang begitu sahaja, lebih baik digunakan untuk tujuan lain.

Saya: Ada ketikanya puan turut menjalankan tugas-tugas kerani. Waktu bilakah itu? Barangkali puan ada sebarang perkara atau hal yang tidak menyenangkan sepanjang bertugas di sekolah ini.

Puan Rokiah: Tiada masalah bagi saya untuk membantu tugas-tugas kerani atau pembantu am. Sekiranya kerani berehat atau bercuti atau berkursus, maka saya akan mengambil alih tempat mereka untuk melayan ibu bapa yang hadir ke sekolah untuk tujuan pendaftaran dan perpindahan sekolah atau kemasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini.

Saya rasa tiada peristiwa yang kurang menyenangkan sewaktu saya melayan ibu bapa yang hadir ke sekolah. Walau dalam apa keadaan pun ibu bapa atau penjaga yang datang ke sekolah ini perlulah dilayan dengan ramah mesra.

Selalunya saya akan membantu pada awal sesi iaitu sebelum P & P bermula atau semasa saya free atau pada waktu rehat.

Saya: Harapan puan dalam dunia pendidikan untuk masa depan? Bila nak bergelar Hajjah? Hahaha! (sekadar bertanya)

Puan Rokiah: Ini yang susah nak jawab ni, saya ini adalah dalam golongan guru lama. Saya rasa sistem pendidikan sekarang semakin mencabar. Banyak pembaharuan telah berlaku dalam dunia pendidikan sekarang, contohnya penggunaan peralatan ICT yang semakin meluas, tak terkejar saya.

Sejajar dengan kehendak Kementerian Pendidikan yang mahukan semua guru siswazah di semua sekolah menjelang 2020, harapan saya agar semua murid mendapat peluang yang terbaik dalam pendidikan dan menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai murni yang mulia bagi membentuk bangsa Malaysia yang berdaya saing di mata dunia.

Tentang gelaran Hajjah ,kalau sampai masa dan dengan keizinanNYA maka akan berkunjung juga saya ke sana, suatu hari nanti. Mudah-mudahan.

Saya: Soalan terakhir dari saya. Nasihat atau teguran kepada semua guru yang diraikan pada hari ini dan harapan puan kepada mereka.

Puan Rokiah: Harapan saya,semoga mereka semua dapat menjalankan tugas dengan penuh didikasi dan semoga segala pengorbanan yang telah mereka curahkan untuk mendidik anak bangsa selama ini akan beroleh keberkatan daripada Allah hendaknya.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan guru di sesi petang kerana telah memberi kerja sama yang tidak terhingga kepada saya selama ini, tanpa cikgu-cikgu semua tidak mungkin saya boleh bertugas seorang diri.

Akhir kata “SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA WARGA SKTSP” dan “SELAMAT MAJU JAYA DALAM SEGALA BIDANG”.

Sekian , terima kasih.

Terima kasih kepada Puan Rokiah kerana meluangkan masa dan sudi ditemubual. Diharapkan puan ‘sukses’ selalu dan gembira di samping keluarga tercinta.

PS: pasti ada yang bosan membaca entry yang berjela2 ini. Haha! Lantak andalah! hahaha! Selamat Hari Guru!

Wednesday, May 10, 2006

Kuatkan speaker anda!!



saya teruja apabila tok rimau telah melancarkan single sulungnya. maka, saya turut sama melancarkan single saya yang bertajuk 'FARAQSTIKA'



FARAQSTIKA



TIGA SERANGKAI BERGABUNG JADI SATU
KERAMBIT TUNGGAL SENJATA DIRI

KITA MASIH LAGI MANUSIA
BUKAN BONEKA BERNYAWA
DI AGUNG DIPUJA
KAU RAGUT SEGALANYA

HABIS AKAR BUDI
KAU CABUT SEKALI
TAPI SEJARAH SILAM
TAK AKAN HANYUT
BERSAMA MIMPIKU

KELAINAN YANG KU UKIR
GELORA DISEBALIK TAKDIR
DALAM SEMARAK
KU JUNJUNG ADAT
DALAM BERSORAK
KUGENGGAM SEMANGAT

LAUTAN YANG LUAS
LINTASAN SUASANA
PAHIT DAN GETIR
ASAM GARAM PERJUANGAN

PEPATUNG ITU MELAYANG KE JENDELA
LANTAS KU TERFIKIR APAKAH HIKMAHNYA
MUNGKIN TAK SANGGUP MENAHAN SENGSARA
MEMBUATKAN DIRIKU MENANGIS
KERANA DULU KU PERNAH SENGSARA

LIRIK: JAFNY
LAGU: NIZAM RUSLI & JAFNY

HAKCIPTA TERPELIHARA. DENGAR SAJA. BUKAN UNTUK DIJUAL!

Monday, May 08, 2006

Cerdik

Kelas 3 cerdik


ketika murid-murid sedang menyiapkan tugasan yang diberi,



Mohd Nurdinie: Cikgu! Saya jumpa duit!

Saya: Tanyakan dengan kawan-kawan, siapa yang hilang.

Mohd Nurdinie: Kenapa pulak?

Saya: Pulangkanlah!

Mohd Nurdinie: Saya jumpa dalam poket.. poket saya..

Saya: Kau! meeeeemang cerdik! (sambil meng'karate' tengkuknya)


Pss.. ucapan jutaan terima kasih kepada mereka telah memberi nasihat dan tips yang amat berguna kepada saya dan isteri (memang saya perlukan. kalau ada berilah lagi). Terima kasih kerana turut bersama-sama melompat kegembiraan!

kunci hilang
ya.. saya risau, bukan takut..

Tuesday, May 02, 2006

Manusia.. Manusia..

Saya turut kecewa dan terkilan atas nasib yang menimpa ke atas Hikayat Sinagaga Origami. Manusia.. manusia..


_________________________________________________




Takut

Anda semua pasti pernah melaluinya. Takut dengan hantu, jembalang, takut dengan bos, takut dengan jiran depan rumah dan takut dengan bini (bukan saya). Ketakutan yang paling utama pastinya, takutkan Tuhan yang Esa. Mereka yang tidak pernah merasa takut sebenar adalah rugi. Bagi saya, takut juga sebenarnya adalah satu nikmat.

Dengan rasa takut kita sebenarnya sentiasa bersedia, berwaspada dan berjaga-jaga. Dengan takut, kita berusaha mepersiapkan diri agar ketakutan yang bakal kita hadapi itu, tidak menjadi terlalu takut. Jelas? Contoh:

Anda bakal menghadapi sebuah peperiksaan besar. Yang bakal menentukan masa depan, hidup dan mati, dan caci, puji yang akan diterima. Sebaik-baiknya anda berusaha keras mempersiapkan diri agar dapat menghadapi hari yang menakutkan itu. Itulah yang sepatutnya berlaku. Anda akan terlepas nikmat takut itu jika, anda tidak memperdulikan langsung peperiksaan besar itu. Apa nak jadi, jadilah. Itu, contoh.

Sepanjang hidup saya, ada dua perkara yang benar-benar menakutkan saya. Pertama, semasa saya dalam darjah enam dan cuti penggal yang akhir sebelum ke tingkatan satu. Takutkan apa? Takutkan saat-saat untuk di’jawi’kan atau ‘sunat’. Orang lain saya tak tahu. Tapi di saat hampirnya waktu di’jawi’kan itu, ketakutan yang menyelubungi membuatkan tangan menggigil, peluh bercucuran dan jantung bergedup kencang. Pelbagai perkara yang terbayang dan bermain-main di kepala di waktu itu.

Kedua, saat selesai dihijabkabulkan. Tidak semena-mena, selesai melafazkan “bla.. bla.. bla.. tunai..” tangan saya terketar-ketar, peluh jantan bercucuran dan jantung berdegup kencang teramat. Alhamdulillah, mujur masih dapat bertahan dan tidak pitam. Seolah-olah di saat-saat itu, tergambar satu beban yang teramat berat yang akan dipikul di atas bahu kelak.


Percaya atau tidak? saya tidak pernah takutkan hantu, jembalang, pontianak harum atau tidak harum. Saya tidak takut untuk berjalan seorang diri di tempat gelap. Saya pernah tidur di rumah yang lama ditinggalkan, tanpa bekalan elektrik dan seorang diri (satu malam). Menaiki motor seorang diri dimalam hari. Alhamdulillah, belum lagi berjumpa dengan ‘benda-benda’ yang tidak sepatutnya.

Dan saya tidak takut pada orang! Tapi saya tahu hormat orang. Anda pun.. takkan anda hendak biarkan orang lain membuli dan mengambil kesempatan pada kebaikan diri anda. Sudah tentu anda marah! Begitu juga saya.

Saya turut menceritakan pada isteri tentang dua cerita takut saya. Dalam cerita saya itu, kakak ipar turut mencelah, perkara takut yang ketiga, yang akan saya hadapi ialah di saat-saat isteri sedang melahirkan anak.

“Gulp!”

Ketakutan itu sudah mula dirasai apabila.. dan pada masa yang sama, saya berasa sangat gembira dengan berita itu.

“Yey! Seronoknya!”


PS: Saya biarkan anda tertanya-tanya. Hahaha!